Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemuda Umno akan buat laporan polis dakwaan memo AGC ‘bocor’

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Pemuda Umno akan menggerakkan ahlinya di seluruh negara untuk membuat laporan polis berhubung memo yang dikatakan bocor yang mengesyorkan supaya menggugurkan pertuduhan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Ini susulan laporan Peguam Negara Idrus Harun kini sedang menghabiskan cuti tahunannya menjelang persaraannya bermula 6 Sept.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata Idrus bercuti tanpa menjawab soalan mengenai dokumen itu menyebabkan isu itu tergantung tanpa jawapan yang memuaskan.

"Sehingga ke hari ini, tidak ada mana-mana pihak yang boleh mengesahkan kesahihan dokumen tersebut.

"Ini secara tidak langsung memberikan impak negatif kepada tahap keyakinan orang awam kepada Jabatan Peguam Negara," katanya.

"Maka yang demikian, atas dasar prihatin dan memegang teguh kepada Rukun Negara Malaysia yang ke-3 dan ke-4, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang, Pemuda Umno akan menggerakkan ahli-ahlinya di seluruh negara untuk membuat laporan polis supaya satu siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa yang berkenaan, dan tindakan wajar diambil bagi mengembalikan keyakinan orang awam terhadap sistem perundangan Malaysia," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, dokumen setebal 12 muka surat bertarikh 10 Okt 2019 itu telah tersebar dalam talian.

Ia didakwa memo dalaman daripada pasukan pendakwa Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) yang ditujukan kepada peguam negara ketika itu Tommy Thomas. Ia juga disalin kepada ketua pendakwaan Manoj Kurup ketika itu.

Dokumen itu mengesyorkan menggugurkan enam daripada pertuduhan rasuah terhadap Najib dan Irwan kerana pihak pendakwaan merasakan kes prima facie yang kukuh tidak boleh dibawa ke atas kedua-dua mereka.

Pada 17 Ogos, Idrus dilaporkan enggan mengulas mengenai dokumen itu dan berkata AGC sedang menyiasat kebocoran tersebut.

Thomas berkata dia tidak ingat mengenai kewujudan memo yang dikatakan itu.

Pada 18 Ogos, Akmal berkata AGC mesti menggugurkan pertuduhan terhadap Najib dan Irwan jika dokumen itu didapati sah dan jika terdapat unsur penyalahgunaan kuasa.