Skip to main
Logo Malaysiakini

Perancis tak akan kompromi larangan pakai abaya di sekolah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

GLOBAL | Presiden Perancis pada Jumaat berikrar bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap larangan pakaian yang berlebihan di sekolah.

Emmanuel Macron melawat sebuah sekolah di bandar Orange, selatan Perancis, dan dia mengulas mengenai larangan memakai abaya, atau pakaian qamis di sekolah, lapor Agensi Anadolu.

"Sekolah di negara kita adalah sekular dan bebas, tetapi yang paling penting, sekular...dan tanda keagamaan, apa pun mereka, tidak mempunyai tempat (di sana)," kata Macron, menurut penyiar BFMTV.

Presiden itu menyokong pendirian Menteri Pendidikan Gabriel Attal, dengan berkata: "Kami tidak akan berkompromi dalam topik ini. Kami akan mengambil tindakan."

Attal mengumumkan bahawa pelajar yang memakai pakaian tradisional tidak akan menghadiri kelas pada Isnin, apabila sesi persekolahan bermula.

"Mereka (pelajar) akan dialu-alukan ke sekolah dan akan ada perbincangan untuk menerangkan kepada mereka maksud peraturan, mengapa keputusan ini diambil, dan mengapa mereka tidak boleh memakai abaya atau qamis di sekolah," kata Attal.

Kerajaan Perancis telah dikritik kerana menyasarkan umat Islam dengan kenyataan dan dasar yang diamalkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini termasuk serbuan ke atas masjid dan yayasan kebajikan, serta undang-undang "anti-separatisme" ke atas masyarakat.

-Bernama