Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Negara perlukan pemimpin berjiwa manusiawi

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

KOMENTAR | Apakah penyebab negara kita yang mewah dengan khazanah alam ini masih 'dombrak-dambrik' (meminjam istilah almarhum KH Zainudin MZ) dengan ramai lagi yamg masih tidak punya dan tidak menikmati kekayaan negara?

Pada hemat saya, hal ini boleh dilihat dari beberapa perspektif.

Pertama, soal mendefinisikan kekuasaan yang wajib digunakan untuk memperjuangkan masyarakat adil dan makmur, bukannya menjadi sarana memperkaya diri sendiri dan kaum kerabat.

Kedua, tiadanya ideologi atau keyakinan politik dan keberanian moral yang bukan sekadar membimbing para petinggi negara, malah juga terhadap mereka yang berkuasa.

Natijahnya, bercambah amalan rasuah dan nepotisme dalam negara. Justeru yang dapat dilihat kita hari ini ialah suatu mekanisme pemerintahan yang berlangsung tanpa ideologi serta kepedulian, selain gagal berpihak kepada rakyat.

Ketiga, sistem politik yang sudah kusut masai. Jawatan dan jabatan politik dilihat seumpama lombong emas bagi mengaut kekayaan.

Dalam lain perkataan kelihatannya jawatan dan jabatan politik itu tidak lebih seperti barang dagangan.

Justeru pada saya semua itu adalah suatu hambatan tatkala kita mahu melihat tanah air ini makmur dan adil untuk mendobrak sistem, mekanisme atau isme yang sudah sedemikian kusut.

Kesemua ini boleh dizahirkan dengan adanya damir yang luhur dan kesederhanaan daripada pemimpin.

Resam pemimpin yang didambakan rakyat ialah manusia yang punya sifat amanah dan bertanggungjawab, bukannya yang punya sifat cenderung bermegah-megah dengan kebesaran.

Jangan dilihat berpisah-pisah

Adapun pemimpin yang cenderung bermegah-megah juga punya kecenderungan untuk menyalahkan orang lain, sama ada kerana kealpaan atau dikelabui oleh kemewahan.

Mereka merasakan punya kelebihan atau - lebih teruk - berasa berhak melakukan apa sahaja waima yang bertentangan dengan undang-undang. Kemudiannya segala khilaf yang dilakukan itu dituding jari kepada orang atau pihak lain.

Dalam upaya membasmi kemiskinan, sedikit melegakan ialah keazaman yang terlihat dari dasar membasmikan kemiskinan tegar ditunjukkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang wajar didukung semua pihak.

Sementara kita meyakini keikhlasan upaya tersebut, dukungan semua pihak - tidak kira dari sisi politik mana sekalipun - sangat perlu dan seharusnya dijadikan keutamaan.

Ertinya usaha yang bersungguh-sungguh dan sepenuh komitmen sangat diperlukan. Dalam lain perkataan, upaya itu seharusnya tidak dilihat berpecah-pecah.

Tidak boleh hanya kementerian tertentu yang bergelut bertindak sedangkan apa yang diperlukan ialah pembabitan semua.

Dalam nafas yang sama, tentunya upaya meredam korupsi, salah guna kuasa, nepotisme dan 1001 kerenah yang menjadi hambatan perlu dipadamkan. Negara ini telah terlalu lama bergelumang dengan gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Ia begitu parah sehingga ada antara rakyat menganggap seseorang yang jujur itu semakin hampir kepada kebodohan! Demikianlah sakitnya bangsa ini.

Mendefinisikan kekuasan itu bermakna memberikan ruang dan peluang kepada mereka yang terpinggir untuk bermandiri. Ia termasuklah menguruskan dengan sebaiknya individu tanpa warganegara, terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Ia juga tentunya berkaitan akses kepada pendidikkan, kemudahan kesihatan, jaminan ekonomi, keselamatan sosial dan polisi yang menghormati serta mempertahankan maruah manusia.

Ada ungkapan jenaka yang mengerikan kedengaran sekarang: “orang miskin dilarang sakit”. Inilah hakikat yang perlu kita akui.

Sementara mengakui malah memberikan penghargaan kepada inisiatif kerajaan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang baik untuk warganegara, kita tidak boleh memejamkan mata kepada nasib golongan rentan seperti individu tanpa warganegara.

Dasar yang tidak memihak kepada kelompok itu seharusnya dimansuhkan. Di atas neraca kemanusiaan, mereka wajar diberikan akses kepada pelayanan kesihatan (dan pendidikkan) tanpa diskriminasi.

Malah saya yakin langkah tersebut tidak sehingga membebankan kewangan negara atau menyebabkan Malaysia menjadi muflis.

Sesungguhnya kita memerlukan pemimpin yang punya jiwa dipacu oleh nilai kemanusiaan yang tinggi serta keazaman mengangkat harkat sesama manusia.

Sesungguhnya saya meyakini kita punya pemimpin yang sedemikian, yang tidak cenderung kepada kemewahan sebaliknya bersedia dengan penuh tawaduk meladeni golongan rentas, sekali gus mengeluarkan mereka dari kitaran setan kemiskinan.


AHMAD NIZAM HAMID ialah pembaca Malaysiakini yang juga seorang peguam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.