Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan jadi macam di Selangor, pesan Amirudin

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

PRK JOHOR | Amirudin Sahri mengingatkan pengundi di parlimen Pulai dan kerusi DUN Simpang Jeram agar tidak terlalu yakin untuk memenangi kedua-dua kerusi berkenaan pada 9 Sept ini.

Bahkan Naib Presiden PKR itu mengingatkan pengundi di kedua-dua kawasan terbabit agar belajar daripada apa yang berlaku di Selangor apabila pilihan raya negeri (PRN) diadakan pada 12 Ogos lalu.

Kata Amirudin, keyakinan yang berlebihan menyebabkan ada sesetengah pengundi tidak keluar melaksanakan pemilihan semasa PRN diadakan.

Keadaan itu katanya menyaksikan beberapa kerusi yang sepatutnya boleh dimenangi parti kerajaan perpaduan kemudian terlepas kepada pihak pembangkang.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata semasa PRN baru-baru ini jumlah peratusan keluar mengundi di negeri itu adalah kira-kira 71 peratus.

Dalam kalangan pengundi masyarakat Cina pula hanya 61 peratus yang keluar menjalankan tanggungjawab masing-masing.

"Angka ini menyebabkan gabungan PH dan BN kehilangan (kalah) empat kerusi dengan majoriti yang sangat tipis, seterusnya tidak mendapat majoriti dua per tiga setelah menang 34 daripada 56 kerusi dipertandingkan," katanya dipetik BH Online hari ini.

Turut hadir ialah veteran DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong; Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dan Timbalan Speaker DUN Johor, Samsolbari Jamali.

Menurut Amirudin lagi empat kerusi yang sepatutnya boleh dimenangi kerajaan negeri ialah DUN Dengkil (perbezaan 400 undi), Taman Medan (30 undi), Gombak Setia (58 undi) dan Sungai Kandis (167 undi).

Jika peratusan keluar mengundi dapat dinaik sebanyak 0.5 peratus saja lagi, kata Amirudin, kerajaan boleh memenangi keempat-empat kerusi terbabit.

"Saya tahu ramai yang katakan PH-BN ada peluang besar menang di Pulai, tetapi saya juga harap kita tidak terlalu selesa.

"Jika berpandangan seperti itu, akan jadi macam apa yang berlaku di Selangor," katanya semasa berceramah di Bukit Indah, Pulai, malam tadi.

Terdahulu, Amirudin berkata pengundi parlimen Pulai perlu menunaikan tanggungjawab kerana peratusan keluar mengundi yang tinggi dapat membantu menjamin kedudukan dua per tiga kerajaan perpaduan di Dewan Rakyat.

Amirudin menambah kemenangan calon kerajaan perpaduan di Pulau dan Simpang Jeram sangat penting demi masa depan negara dan rakyat.

"Di Selangor lebih 60 peratus rakyat menyokong kerajaan perpaduan dan menyekat berlakunya gelombang yang dicanang PN.

"Perkara ini perlu diteruskan di Parlimen Pulai ini," katanya.