Skip to main
Logo Malaysiakini

'Dakwaan k'jaan tambah 78 kerusi helah Muhyiddin takutkan rakyat'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menganggap dakwaan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, kononnya Putrajaya berhasrat untuk menambah 78 lagi kerusi parlimen sebagai suatu helah "menakut-nakutkan" orang ramai.

Kata Fahmi, sebelum ini dia tidak pernah mendengar sebarang perbincangan atau usaha meningkatkan jumlah kerusi di Dewan Rakyat daripada 222 menjadi 300.

“Saya sebagai anggota jemaah menteri, ini kali pertama saya dengar angka ni. Saya tak pasti dia dapat maklumat dari mana.

“Kalau seorang ahli jemaah menteri pun belum terima apa maklumatnya tentang perkara ini, bagi saya ia hanya satu angan-angan daripada pihak beliau cuba untuk menakut-nakutkan orang, sebab disebut dalam konteks PRK Pulai,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu ditemui media selepas merasmikan program Kita Madani Aspirasi Malaysia 2023 peringkat Kuala Lumpur dan Putrajaya di Pusat Komuniti Pantai Eco Park di ibu kota hari ini.

Ketika kempen PRK Pulai dan Simpang Jeram semakin giat dijalankan, pemimpin PN mendakwa pengundi di kedua-dua kawasan perlu mengalahkan calon kerajaan perpaduan bagi mengelakkan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Bagaimanapun untuk rekod, mengikut peraturan sedia ada, kerajaan boleh meminda sesuatu kawasan pilihan raya dengan hanya mendapat sokongan majoriti mudah di Dewan Rakyat.

Sokongan sekurang-kurangnya dua per tiga hanya diperlukan jika Putrajaya mahu menambah atau mengurangkan jumlah kerusi berkenaan.

PN menakwa dengan adanya majoriti mutlak itu kerajaan akan memecahkan sesuatu kawasan parlimen yang memiliki kepadatan penduduk yang tinggi.

Mereka juga mendakwa langkah itu akan membolehkan DAP - salah satu parti komponen PH - mendapat lebih banyak wakil di parlimen.

Di Selangor, kawasan pilihan raya parlimen terbesar ialah Bangi dengan seramai 311,469 pengundi berdasarkan senarai pemilih yang digunakan untuk pilihan raya umum pada 12 Ogos, manakala Sabak Bernam hanya 51,842.

Sebelum ini kerajaan perpaduan memiliki majoriti mutlak melalui penguasaan 148 kerusi di Dewan Rakyat. Bagaimanapun keadaan berubah kepada 147 dengan kematian Ahli Parlimen Pulai, Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Kata Fahmi, untuk mendapatkan kesahihan sepatutnya Muhyiddin mengajukan soalan tersebut sendiri secara langsung kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam sidangan Dewan Rakyat pada pertengahan bulan ini.

“Jadi saya peringatkan Tan Sri Muhyiddin, jangan ponteng parlimen. Sila tanya soalan (ketika) waktu pertanyaan kepada perdana menteri. Jangan malas, nanti culas,” katanya.