Skip to main
Logo Malaysiakini

Fahmi jamin tiada 'cengkaman kuku besi' ke atas media

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan melayan media dengan pendekatan “kuku besi” seperti yang berlaku dalam pentadbiran sebelum ini.

Fahmi menegaskan Putrajaya kekal dengan pendirian untuk mempertahankan kebebasan media namun menegaskan kerajaan tidak dapat berkompromi dengan laporan fitnah dan palsu.

Mengakui beberapa penerbitan berita dalam talian telah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini, dia menegaskan keadaan di bawah kerajaan sedia ada jauh lebih baik berbanding pentadbiran terdahulu.

“Sepanjang saya berkhidmat sebagai Menteri Komunikasi dan Digital, tidak ada seorang wartawan pun yang ditahan polis, tidak ada satu surat khabar pun ditutup seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

“Saya terima kenyataan dan pandangan yang disampaikan (mengenai sekatan terhadap portal berita), dan saya harap ada beberapa penambahbaikan boleh dilakukan supaya kita kekal menjamin dan pertahankan hak media untuk terus bebas membuat pelaporan, tapi ada beberapa elemen seperti fitnah atau maklumat yang tidak betul (dilaporkan)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kita Madani Aspirasi Malaysia 2023 peringkat Kuala Lumpur and Putrajaya di Pusat Komuniti Pantai Eco Park di Kuala Lumpur hari ini.

Kata Fahmi dia berharap pihak media dapat berbincang untuk pastikan tiada kejadian salah lapor berulang.

Dia yang juga ahli parlimen Lembah Pantai menjelaskan dalam setiap laporan berita, memastikan sesuatu maklumat yang disampaikan itu tepat adalah sama pentingnya dengan keinginan untuk mendahului media lain dalam penyampaian berita.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan NGO antarabangsa Reporters Without Borders (RSF) supaya kerajaan menghentikan amalan menyekat terhadap laman sesawang berita dalam talian.

Gesaan itu muncul berikutan beberapa portal berita dalam talian disekat oleh SKMM atas sebab tertentu.

Sejak Jun lalu beberapa portal termasuk MalaysiaNow, UtusanTV dan TV Pertiwi. Ia berlaku di sebalik jaminan diberikan Fahmi bahawa portal berita tidak akan disekat semasa siasatan sedang dijalankan.

Tanpa merujuk mana-mana kes secara khusus, SKMM menjelaskan, suruhanjaya itu perlu menyekat kandungan mengelirukan ataupun tidak tepat bagi memastikan keharmonian masyarakat terpelihara.

Diminta mengulas mengenai tindakan SKMM mengenakan larangan tanpa sebarang notis, Fahmi memberitahu, dia telah menyatakan pendiriannya bagi memastikan tindakan yang diambil oleh badan kawal selia itu tidak menimbulkan salah faham.

“Bagi perdana menteri (Anwar Ibrahim) dan kerajaan ini, kebebasan media harus kita pertahankan dan akan terus kita pertahankan seperti yang disebut perdana menteri sewaktu Hawana (Hari Wartawan Nasional) dan sambutan anugerah wartawan MPI (Institut Akhbar Malaysia).

“Beliau (Anwar) kekal dengan pendirian itu dan saya juga kekal dengan pendirian itu,” katanya.