Skip to main
Logo Malaysiakini

'Wah Muhyiddin, dialah orang politik, dialah mufti'

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Pengerusi Umno Johor Mohamed Khaled Nordin (gambar, bawah) menyindir Pengerusi PN Muhyiddin Yassin susulan 'fatwanya' yang menghukumkan haram untuk mengundi calon PH Suhaizan Kaiat pada pilihan raya kecil parlimen Pulai ini.

"Wah, dia lah orang politik, dia lah mufti, lain kali Malaysia bukan sahaja tak payah pilihan raya, tak payah panggil parlimen bersidang," katanya pada hantaran di media sosial.

Untuk rekod, selepas Langkah Sheraton yang menumbangkan pentadbiran PH pada 2020, kerajaan pimpinan Muhyiddin selaku perdana menteri ketika itu telah mengisytiharkan darurat bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Lantaran itu, Dewan Rakyat tidak bersidang selama tujuh bulan dan keputusan menggantung parlimen itu menerima kecaman hampir semua parti pembangkang dan juga Umno, yang pada masa itu masih menyokong gabungan kerajaan.

Secara berasingan, Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali melahirkan kebimbangan bahawa kenyataan Muhyiddin itu akan menggalakkan "ekstremisme" dan seterusnya memecahbelahkan negara.

Dia juga berkata 'fatwa' Muhyiddin itu bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru agar politik dijauhkan daripada agama.

Terdahulu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Zahid Hamidi dipetik Berita Harian berkata 'fatwa' Muhyiddin hanyalah sekadar kenyataan politik semata-masa.

"Ada seorang yang bukan ulama telah mula keluarkan fatwa politik kononnya undi Suhaizan Kayat haram.

"Saya hendak tanya dengan orang itu (Muhyiddin) ayat Al-Quran dari mana?

“Hadis dari mana? Qias dari mana? Pandangan ijmak ulama dari mana," soalnya.

Ahmad Zahid hari ini juga berkata keadaan bebeza ketika Muhyiddin bekerjasama dengan PH pada PRU14 lalu dengan hukum "semuanya halal."

"Apabila tidak sealiran dengan PH, keluarlah fatwa yang pelbagai," katanya yang juga timbalan perdana menteri.

Kata Zahid, rakyat Johor khususnya pengundi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, perlukan kestabilan.

"Rakyat Johor lebih matang. Apa pun propaganda muslihat yang mahu menggunakan rakyat untuk perjuangkan mereka, tetapi yang dilakukan adalah sebaliknya.

"Pengundi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram terus istiqamah memilih wakil rakyat dari kerajaan. Kerajaan Perpaduan terbaik," katanya.