Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis soal Hadi esok, tak tahu perjumpaannya dengan Dr M

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Polis akan menyoal siasat Presiden PAS Abdul Hadi Awang pagi esok berhubung ucapan di mana dia didakwa mempersoalkan kuasa Lembaga Pengampunan.

Hadi sepatutnya disoal siasat pada hari Sabtu, tetapi meminta perjumpaan dengan polis ditangguhkan atas sebab kesihatan.

Bagaimanapun, gambar kemudian muncul mengenai Hadi dan pemimpin PAS yang lain bertemu dengan Dr Mahathir Mohamad - pada masa yang sama polis sepatutnya merakam keterangannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata polis tidak tahu menahu berhubung pertemuan itu.

"Perjumpaan beliau (Tan Sri Abdul Hadi Awang) dengan Tun Mahathir adalah di luar dari pengetahuan kami,” katanya seperti dipetik TV3.

Mohd Shuhaily menjelaskan tarikh baru itu ditetapkan selepas panggilan memberi keterangan semalam terpaksa ditangguhkan ke esok atas faktor kesihatan.

“Beliau (Abdul Hadi) minta tangguh ke esok hari kerana beliau tidak sihat,” katanya.

Awal hari ini, Timbalan Ketua Penerangan PKR Razeef Rakimin menyoal jika Hadi berpura-pura sakit kerana mengelak berjumpa polis kerana sebaliknya dia boleh pula pergi berjumpa Mahathir.

Hadi sedang disiasat berhubung ucapannya di Johor pada 26 Ogos.

Semasa ucapan itu, dia dilaporkan berkata proses pemberian pengampunan di Malaysia bertentangan dengan ajaran Islam, dengan keluarga mangsa yang berhak untuk mengampuni kesalahan - dan bukannya Lembaga Pengampunan.

Abdul Hadi disiasat di bawah Akta Hasutan.

Lembaga Pengampunan di setiap negeri dilantik oleh Raja-Raja Melayu atau gabenor negeri, dengan Yang di-Pertuan Agong melantik lembaga itu untuk Wilayah Persekutuan.