Skip to main
Logo Malaysiakini

Syak isteri ada hubungan sulit, lelaki tumbuk penjawat awam hingga maut

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Gara-gara mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan rakan sekerja, seorang lelaki bergaduh dengan seorang penjawat awam hingga menyebabkan mangsa meninggal dunia susulan kejadian di Jalan Pasir Putih - Machang, di Machang, hari ini.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu mangsa berusia 51 tahun mengalami kecederaan dan pendarahan serius di bahagian muka.

Katanya, mangsa juga mengalami kecederaan parah di mata dan patah tulang rusuk kiri, manakala suspek hanya mengalami kecederaan di kedua belah tangan.

“Pergaduhan berlaku tanpa melibatkan sebarang senjata. Mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia seama mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun.

“Suspek berusia 46 tahun hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang untuk membuat laporan polis dan ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Muhamad Zaki, motif kejadian suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

Menurutnya, suspek bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur manakala mangsa dan isteri suspek penjawat awam di jabatan sama di Kuala Krai.

“Siasatan lanjut ke atas suspek dan mangsa mendapati tiada sebarang rekod jenayah. Hasil ujian saringan awal terhadap suspek didapati negatif daripada sebarang jenis dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan suspek akan dibawa ke mahkamah esok untuk ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.