Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu ‘majoriti dua pertiga’ dimainkan dalam PRK Pulai

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

ANALISIS | PN mendapat banyak manfaat sewaktu pilihan raya negeri 12 Ogos lalu ekoran kempennya bahawa pengundian itu merupakan referendum terhadap pentadbiran Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, pada pilihan raya kecil parlimen Pulai, PN mahu menafikan sokongan majoriti dua pertiga Anwar di parlimen.

Anwar menjadi perdana menteri pada Nov 2023 dengan sokongan daripada 148 ahli parlimen yang bukan dalam kalangan PN. Ia merupakan jumlah yang cukup-cukup untuk mencapai majoriti dua pertiga daripada jumlah keseluruhan 222 ahli parlimen.

Secara teori, ia membenarkan perdana menteri meminda Perlembagaan Persekutuan.

Dengan pemergian ahli parlimen Salahuddin Ayub (Amanah-PH), kempen PN telah bertukar daripada tujuan menjatuhkan Anwar kepada menafikan kebolehan perdana menteri untuk meminda Perlembagaan Persekutuan yang akan memihak kepadanya.

Apa yang dapat dilihat dalam kempennya, PN mendakwa bahawa memberi Anwar sokongan dua pertiga akan membolehkannya meraih lebih banyak kawasan pilihan raya di kawasan bandar, sekali gus memberi kelebihan kepada PH.

Pada awal kempen, Ketua Wanita Bersatu Johor Baru Azlinda Abdul Latif (gambar, bawah) memberitahu kira-kira 50 penyokong yang berhimpun ketika ceramah di pusat operasi PAS Pulai pada Selasa, bahawa DAP telah lama "berkomplot" untuk “mewujudkan” lebih banyak kawasan pilihan raya majoriti Cina.

Dia mendakwa terdapat rancangan sedang dijalankan untuk mewujudkan kawasan pilihan raya baru dengan bilangan pengundi “tidak seimbang” dari 11 kawasan pilihan raya yang kini dipegang oleh DAP.

Menurutnya, ia adalah bahaya yang jelas dan nyata kepada orang Melayu-Islam.

Pada hujung minggu lalu, kempen PN mendapat sambutan apabila Pengerusi PN Muhyiddin Yassin ketika berceramah mendakwa pentadbiran Anwar berhasrat menambah 78 kerusi parlimen.

"Kita jangkakan persempadanan semula atau kita sebut 'gerrymandering' ini akan berlaku dalam tempoh beberapa tahun dalam penggal ini.

“Namun ia tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya tanpa ada kelulusan parlimen yang memerlukan undi dua pertiga untuk memastikan pindaan itu dapat dibuat.

"Jadi sekarang ini, kalau mereka menang di Parlimen Pulai 9 September ini, mereka akan dapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

“Maka Kerajaan Perpaduan akan pinda kawasan sempadan pilihan raya, macam mana tuan-tuan fikir dia nak buat," kata Muhyiddin sewaktu berceramah di Kempas, lapor Berita Harian.

Dua pertiga penting untuk Anwar

Malaysia menggunakan sistem pilihan raya first-past-the-post (sistem pemenang undi terbanyak) yang menjadikan sempadan pilihan raya amat penting.

Pentadbiran BN sebelum ini telah didakwa menyalahgunakan sempadan pilihan raya untuk mewujudkan lebih banyak kerusi di parlimen bagi kawasan luar bandar.

Secara kebetulan, Muhyiddin telah mendapat manfaat daripada sistem ini.

Mengikut bilangan pengundi yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya untuk pilihan raya 12 Ogos, bilangan pengundi di kubu kuat Muhyiddin di Pagoh ialah 70,214 - iaitu cuma satu pertiga daripada pengundi di Tebrau, kawasan pilihan raya paling ramai penduduk di Johor.

Apa yang mengejutkan, ada di kalangan pemimpin kanan PH-BN juga menggunakan hujah majoriti dua pertiga sebagai sebahagian daripada kempen mereka.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan sulungnya untuk kempen Pulai menekankan kepentingan majoriti dua pertiga dengan tepat bagi tujuan meminda Perlembagaan Persekutuan dan persempadanan semula.

Walaupun pemimpin PH dan BN itu tidak menjelaskan mengapa dua pertiga penting, namun difahamkan pentadbiran Anwar perlu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memenuhi beberapa inisiatif reformasinya.

Penetapan semula sempadan pilihan raya terakhir untuk Semenanjung Malaysia telah dimuktamadkan pada 2016, tanpa sebarang penambahan kerusi baru. Ia satu proses yang memerlukan majoriti dua pertiga dalam penetapan seterusnya yang dijadualkan bermula pada 2024.

Sejarah berulang

Jika bercakap tentang menafikan sokongan dua pertiga gabungan parti kerajaan, ia menyorot semula agenda utama kempen gabungan pembangkang yang diketuai oleh Anwar menjelang pilihan raya 2008.

Pada masa itu, parti pembangkang PKR, DAP dan PAS berada dalam gabungan tanpa nama. Anwar mempunyai perjanjian berasingan dengan DAP dan PAS bagi menentang BN.

Gambar fail, PAS ketika bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Matlamat bersama untuk menafikan majoriti dua pertiga BN yang diperolehi sejak 1974 berjaya membolehkan DAP dan PAS mengetepikan perbezaan ideologi mereka, walaupun hanya buat sementara waktu.

Ini menyebabkan BN, yang kemudiannya dipimpin oleh Abdullah Ahmad Badawi, kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, satu detik yang disifatkan oleh Anwar sebagai "harapan baru untuk Malaysia."

Semasa kempen 2008, DAP yang turut menafikan sokongan dua pertiga BN berharap agar penguasaan politik BN tamat. Namun, ironinya, DAP kini menjadi sasaran kempen serupa daripada pembangkang gabungan PN.

Bagaimanapun, tidak seperti situasi pada 2008, strategi PN di Pulai boleh memakan diri. Ini kerana parlimen Pulai terletak kawasan bandar, dengan separuh pengundi terdiri daripada bukan Melayu.

Gabungan pembangkang pada 2008 ketika itu berhasrat untuk membendung salah guna kuasa, strategi PN bagaiamanapun telah memberi isyarat kepada pengundi bahawa mereka membenarkan pembahagian pengundi tidak saksama (malapportionment) dan mengabaikan prinsip "satu rakyat, satu undi".

Lebih-lebih lagi, PN mempunyai jurang yang besar untuk menang. Semasa pilihan raya umum pada 22 Nov tahun lepas, penyandang Salahuddin meraih 55.3 peratus bahagian undi manakala pencabarnya calon PN hanya memperoleh 17.6 peratus.

Kekalahan tidak beri kesan besar

Meskipun prospek kemenangan PN adalah tipis, Pakar Geostrategis dan Felo Kanan, Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Azmi Hassan (gambar, bawah) berkata strategi PN pada hakikatnya seboleh mungkin bertujuan untuk mengganggu-gugat kestabilan pentadbiran Anwar.

Dia berkata keputusan pilihan raya 12 Ogos lalu memberi sedikit kesan kepada pentadbiran Anwar dan walaupun calon PH kalah, kerajaan persekutuan masih selamat kerana "undang-undang antilompat parti” menjadikan prospek untuk menggulingkan perdana menteri tipis.

“Tapi hakikatnya kedua-dua pihak PN dan PH memainkan isu kestabilan kerajaan persekutuan di PRK Pulai ini dan juga keupayaan untuk majoriti dua pertiga itu dipertahankan.

“Jadi hakikatnya adalah ini memang strategi politik untuk meyakinkan penyokong masing-masing keluar mengundi.

“Tapi hakikatnya, katalah PH tewas juga di Pulai, ianya tidak menggugat kerajaan persekutuan tetapi PN menggambarkannya ia adalah permulaan seperti yang dilakukan sebelum ini, dan paling terkini adalah PRN lepas,” kata Azmi.

Penganalisis Sosiopolitik, Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Awang Azman Awang Pawi (gambar, atas) berkata walaupun dia menjangkakan gabungan PH-BN akan mengekalkan kerusi Pulai, kemenangan dengan margin yang berkurangan kemungkinan akan menambah tekanan kepada pentadbiran Anwar.

"Tetapi kemenangan dengan majoriti yang lebih kecil daripada yang sebelum ini, boleh menjejaskan reputasi PH-BN dan kerjasama mereka akan menjadi tanda tanya," katanya kepada Malaysiakini.