Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin tak perlu risau kerusi parlimen bertambah - Kula

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin digesa tidak perlu berasa gusar dengan proses persempadanan semula atau penambahan kerusi parlimen baru menjelang PRU akan datang.

Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran berkata sebarang usaha menyekat proses sedemikian adalah salah dari sisi prinsip demokrasi.

"Muhyiddin tak perlu gusar. Ini adalah proses demokrasi.

"Biar SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) buat kerja mereka. Lebih-lebih lagi kali terakhir negara kita membuat penambahan kerusi baru parlimen pada tahun 2008," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika mengulas gesaan Muhyiddin meminta pengundi parlimen Pulai perlu mengalahkan calon kerajaan perpaduan bagi mengelakkan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Sebelum ini, PN mendakwa kemenangan PH di kerusi Pulai akan memastikan kedudukan majoriti dua per tiga Kerajaan Perpaduan di Dewan Rakyat.

Menurut pemimpin pembangkang itu juga, dengan adanya majoriti mutlak itu kerajaan akan memecahkan sesuatu kawasan parlimen yang memiliki kepadatan penduduk yang tinggi.

PN juga mendakwa langkah itu akan membolehkan DAP - salah satu parti komponen PH - mendapat lebih banyak wakil di parlimen.

Bagaimanapun, Kulasegaran berkata pendirian PN untuk tidak mahu menambah kerusi parlimen baru sebagai tidak masuk akal.

"Sebagai contoh, jumlah pengundi di parlimen Putrajaya adalah 42,881 undi, sementara pengundi di kerusi Bangi sudah mencecah 311,469 undi.

"Ini jelas tidak adil dan tidak menyatakan prinsip perwakilan yang adil dalam mengundi iaitu satu rakyat, satu undi," katanya.

Untuk rekod, mengikut kaedah undang-undang sedia ada, kerajaan boleh meminda sesuatu kawasan pilihan raya dengan hanya mendapat sokongan majoriti mudah di Dewan Rakyat.

Sokongan sekurang-kurangnya majoriti kelulusan dua per tiga anggota Dewan Rakyat hanya diperlukan jika Putrajaya mahu menambah atau mengurangkan jumlah kerusi berkenaan.

Kali terakhir ia dibuat, SPR menambahkan kerusi parlimen pada tahun 2008 dari 219 ke 222 kawasan pilihan raya.

Sementara itu, persempadanan semula dibuat sebelum PRU ke-14 pada 2018.