Skip to main
Logo Malaysiakini

BNM wujudkan Portal Fraud Kebangsaan bagi kesan akaun scammer

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Bank Negara Malaysia (BNM) akan mewujudkan Portal Fraud Kebangsaan bagi mengumpulkan maklumat mengenai akaun bank individu yang disyaki terlibat dengan jenayah penipuan kewangan.

Timbalan Gabenor BNM, Marzunisham Omar berkata, portal berkenaan hanya boleh diakses oleh pihak bank dan dijangka beroperasi pada pertengahan 2024.

“Apa yang kami jangkakan semua akaun (bank) dan akaun yang disyaki digunakan untuk menerima dana (hasil penipuan) akan dimasukkan ke portal ini.

"Pada dasarnya, semua bank dan institusi kewangan lain akan tahu apakah akaun yang digunakan untuk wang itu," katanya dalam Bengkel Jenayah Kewangan bersama Media, di Lanai Kijang, Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, dengan adanya pangkalan data ini, langkah pencegahan boleh diambil bagi mengesan corak dan rangkaian antara akaun yang digunakan penjenayah kewangan.

Tambahnya, ini boleh membantu institusi kewangan menghentikan transaksi penipuan dengan lebih pantas dan membantu agensi penguatkuasaan menyiasat sesuatu kes.

Selain itu pangkalan data itu juga dijangka dapat menghalang wang daripada masuk ke akaun-akaun keldai.

"Saya tidak mengatakan ini adalah sesuatu yang boleh kita capai dalam satu tahun tetapi berpotensi, kita boleh menghalang wang masuk ke akaun keldai.

“Portal ini memiliki potensi besar untuk mangsa mendapatkan semula dana dan mendakwa si penipu,” katanya.

Bagaimanapun, Marzunisham berkata, adalah lebih penting bagi orang ramai mencegah penipuan daripada berlaku dan meminta mereka berwaspada terhadap aktivti penipuan.

Ini katanya termasuk tidak memberikan butiran peribadi atau kata laluan akaun bank kepada individu yang tidak dikenali.

[Baca berita penuh]