Skip to main
Logo Malaysiakini

Kaji selidik: Belia tak minat politik, tak percaya ahli politik

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Satu kaji selidik yang dibuat baru-baru ini mendapati golongan belia kurang berminat terhadap politik dan tidak percaya kepada ahli politik di Malaysia.

Menurut kaji selidik Indeks Belia Malaysia (2022) oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (Iyres), golongan belia juga bimbang dengan kos sara hidup tinggi di bandar dan tertekan kerana perlu melakukan lebih daripada satu kerja.

"Golongan muda kekal di tahap 'tidak memuaskan' dari segi perbincangan berkenaan politik dan perkembangan politik. Lebih teruk lagi, tahap indeks bagi penglibatan dalam kegiatan politik di tahap 'sangat tidak memuaskan'.

"Ramai yang tidak tahu tentang pendaftaran secara automatik mereka sebagai pengundi dan kekal bertanya bagaimana mahu mendaftar sebagai pengundi. Ramai juga yang menunjukkan kurang rasa percaya terhadap pemain politik kerana ketidakstabilan yang berterusan dan janji yang tidak konsisten," kata Iyres dalam kenyataan hari ini.

Indeks Belia Malaysia adalah kaji selidik tahunan yang dilaksanakan badan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini.

Kaji selidik mencakupi pelbagai aspek berkaitan pembangunan, pendidikan dan dasar untuk belia di Malaysia.

Ia memberi tumpuan kepada enam aspek - pendidikan serta kesejahteraan mental dan fizikal; nilai dan identiti; ekonomi; sosialisasi politik; kenegaraan dan demokrasi; media dan kewarganegaraan digital.

Kaji selidik ini dilaksanakan dengan kedua-dua kaedah kualitatif dan kuantitatif. Kaedah kualitatif melibatkan perbincangan kumpulan fokus bersama 44 belia berdasarkan lapan kumpulan sasaran dan 48 kumpulan pelaksana belia, manakala kaedah kuantitatif melibatkan tinjauan dengan 3,202 belia berusia 15 hingga 30 tahun di seluruh negara.

"Aspek pendidikan mencatatkan markah indeks tertinggi dengan 83.64 (memuaskan), sementara ekonomi mencatatkan markah indeks terendah dengan 58.55 (kurang memuaskan).

"Belia mahu guru dan pendidik mereka menggunakan kaedah baru yang menekankan peningkatan minat terhadap subjek berbanding hanya fokus kepada kebolehan pelajar dalam menghafal dan lulus peperiksaan," kata Iyres lagi.

Kaji selidik itu turut menunjukkan belia memiliki tahap pengetahuan kewangan yang rendah (41.67) namun menunjukkan peningkatan dalam aspek keselamatan peribadi dan persekitaran (rasa selamat secara keseluruhan).

Semakin ramai merokok, vape

Ia turut menunjukkan kadar indeks belia yang merokok dan menghisap vape meningkat daripada 16.39 pada 2021 kepada 26.47 pada tahun lalu.

"Berkaitan pemilihan makanan yang sihat, belia menunjukkan kecenderungan untuk makan makanan yang tular di media sosial berbanding makanan yang sihat.

"Oleh kerana peningkatan kadar merokok dan menghisap vape, belia turut menggesa lebih banyak program diadakan untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran berkenaan kesan kesihatan ekoran kedua-dua tabiat itu," katanya lagi.

Maklumat lanjut berkenaan kaji selidik Iyres boleh dilihat di sini.