Skip to main
Logo Malaysiakini

'Macam PM tak ada kerja lain' - Saifuddin pertahan Anwar isu DNAA Zahid

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail sekali lagi mempertahankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berikutan kritikan terhadap keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkaitan Yayasan Akalbudi.

Bercakap dengan pemberita di Pulai, Saifuddin sekali lagi menyatakan pendiriannya yang Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada peguam negara untuk mendakwa atau menarik balik sebarang pertuduhan.

"Itu kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Sebab itu saya menolak dan menangkis sebarang tuduhan dan andaian bahawa apa pun tindakan yang dibuat oleh peguam negara, semua (kesalahan) diletakkan di atas bahu perdana menteri.

"Macam perdana menteri tak ada kerja lain," kata Saifuddin ketika ditemui semasa berkempen untuk calon PH bagi PRK Pulai, Suhaizan Kaiat.

Setiausaha agung PKR itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan ahli parlimen daripada parti itu, Wong Chen yang menggesa kerajaan agar memisahkan kuasa peguam negara dengan pendakwa raya, dengan pendakwa raya hanya perlu menjawab kepada Parlimen.

Saifuddin berkata dia telah membaca cadangan Wong Chen, namun menegaskan buat masa ini sistem sedia ada yang digunakan.

"Kita warisi sistem yang sudah berjalan. Kalau ada apa-apa usul untuk mengubahnya, caranya adalah seperti apa yang dicadangkan Wong Chen.

"Kita akan tengok daripada situ, saya tak ada sebarang komen lebih daripada itu," katanya lagi.

Pejabat Peguam Negara (AGC) ketika mengulas laporan media berkenaan perkara itu, berkata keputusan untuk memohon DNAA dibuat berdasarkan alasan yang telah dikemukakan dan diterima mahkamah.

Saifuddin juga tidak begitu bimbang dengan ancaman Muda untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan jika tiada penjelasan terperinci daripada AGC berhubung perkara itu.

"Tak ada masalah. Saya anggap ia sebagai reaksi yang diluahkan.

"Sebagai parti politik, Muda tahu baik buruk sesuatu tindakan yang mereka buat. Saya tak ada komen (lanjut) kerana mereka berhak bertindak mengikut pertimbangan mereka," katanya lagi.