Skip to main
Logo Malaysiakini

Rangkuman kempen PRK: 'Hantu lapar', 3R dan peti undi

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Di kawasan Simpang Jeram dan Pulai, bendera merah dan biru menghiasi landskap untuk mengingatkan pengundi tentang siapa yang mereka patut undi pada pilihan raya kecil (PRK) esok.

Secara kebetulan, kebanyakan kawasan bandar di kedua-dua kawasan pilihan raya juga menggunakan bendera jenis lain - jenis yang menjadi panduan untuk "roh yang berkeliaran" ke acara hiburan yang disediakan untuk mereka, dan kepada yang masih hidup, semasa "Festival Hantu Lapar".

Acara ini juga menarik "ahli politik yang berkeliaran" yang tidak sabar-sabar untuk mempamerkan hubungan mereka dengan masyarakat dan berjabat tangan dengan bakal pengundi.

Di tokong Ang Tey Fui di Perling malam tadi, salah seorang ahli politik itu ialah Suhaizan Kayat dari Pakatan Harapan (PH), yang bertanding untuk kerusi Pulai.

Walaupun ramai orang Islam mungkin mendapati acara sebegitu bercanggah dengan kepercayaan mereka kerana ia menampilkan "roh", dewa, ge tai (persembahan nyanyian) dan hidangan bir yang banyak, Suhaizan, yang merupakan ahli Amanah, tetap meneruskan usahanya berkempen.

Ketika Suhaizan beralih dari satu meja ke meja yang lain, warga emas Cina menyambutnya dengan penuh mesra. Ada yang meletakkan tin Carlsberg mereka untuk berswafoto dengannya.

Ramai yang dilihat bergelut untuk berkomunikasi dengan Suhaizan, tetapi logo PH berwarna merah pada bajunya melepasi halangan bahasa.

"Saya calon No 3," dia berulang kali memberitahu orang yang mengucapkan selamat maju jaya kepadanya.

"Dia pergi ke mana-mana yang ada orang ramai," kata seorang aktivis DAP tempatan yang menemani Suhaizan kepada Malaysiakini, apabila ditanya mengapa Suhaizan berkempen di luar zon selesanya.

Yang pasti, calon Muslim di "Festival Hantu Lapar" akan menjadi berita di akhbar Cina dan media sosial pada hari berikutnya.

PN memilih laluan biasa

Sejak dua minggu lalu, Suhaizan dan calon PH Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman, membahagikan jadual kempen antara kawasan Melayu dan bukan Melayu. Kempen Perikatan Nasional (PN), bagaimanapun, mengambil jalan yang lebih mudah.

DUN Simpang Jeram dan parlimen Pulai adalah kawasan pilihan raya yang mempunyai nisbah pengundi Melayu dan bukan Melayu yang hampir sama. Dalam kedua-dua kes, PN bermula secara defensif.

Pada pilihan raya Parlimen 2022, PN memenangi 17.6 peratus dan 27.1 peratus bahagian undi masing-masing di Pulai dan Simpang Jeram. [Nota editor: Bahagian undi Simpang Jeram boleh dikira berdasarkan data butiran Suruhanjaya Pilihan Raya yang diperoleh Malaysiakini]

Walaupun perlu memenangi sebahagian undi bukan Melayu untuk menang, kedua-dua calon PN - Zulkifli Jaafar bagi Pulai dan Dr Mohd Mazri Yahya bagi Simpang Jeram - telah berkempen hampir secara eksklusif di kawasan Melayu.

Di Simpang Jeram, mekanisme kempen utama PN ialah mengadakan beberapa “ceramah kelompok” setiap malam untuk mengumpulkan pengundi supaya Mohd Mazri dapat bertemu dengan mereka.

Walaupun slogan PN sepanjang kempen adalah "Bior doktor jaga SJ" (Biar doktor jaga Simpang Jeram), naratif yang dimainkan di perhimpunan ini sebahagian besarnya adalah mengenai isu kaum, agama dan negara.

Calon PN, Dr Mazri Yahya (berbaju kotak-kotak).

Walaupun pengundian Simpang Jeram adalah untuk kawasan Dewan Undangan Negeri 150km dari Pulai, pengundi diberi amaran bahawa jika pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim memegang majoriti dua pertiga di Parlimen, maka ia akan terlibat dalam "gerrymandering" (persempadanan berat sebelah) dengan mewujudkan lebih banyak kawasan bandar. .

DAP dan sekutu baru mereka Umno, yang tidak menyertai mana-mana pilihan raya kecil, juga menjadi sasaran utama kempen PN.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, menyedari sepenuhnya potensi retorik agama, malah "mengeluarkan" "fatwa" mengharamkan pengundi untuk mengundi Suhaizan. Walaupun jelas dikatakan secara berseloroh, Muhyiddin terpaksa menjelaskan perkara itu kemudian selepas pihak lawan menyerangnya.

Yang jelas kelihatan, setiap parti PH menurunkan pemimpin utama di acara kempen. Sementara kehadiran rakan gabungan PN, Gerakan dalam kedua-dua kempen adalah sangat rendah, walaupun bukan Melayu menjadi demografi sasaran mereka.

Usaha BN yakinkan pengundi

Sebaliknya, rakan baru PH, iaitu BN, telah giat berkempen untuk meraih sokongan pengundi Melayu di Simpang Jeram dan Kempas - separuh daripada kawasan Pulai dan separuh lagi dengan majoriti Melayu yang jelas.

Peraih undi BN memberitahu Malaysiakini bahawa cabaran utama adalah meyakinkan penyokong tradisional BN tentang keperluan untuk mengundi PH yang sebelum ini merupakan seteru mereka.

Di Simpang Jeram, BN lazimnya berkempen melalui risalah dan lawatan rumah tanpa Nazri, dan tanpa liputan media, termasuk ketika ketua BN Johor dan menteri besar Onn Hafiz turutn berkempen.

“BN memerlukan sedikit ‘ruang’ untuk meyakinkan penyokong kami untuk mengundi sekutu kami (PH),” kata seorang aktivis BN kepada Malaysiakini.

Semasa pilihan raya Parlimen 2022, BN memenangi kira-kira satu perempat undi di Pulai dan Simpang Jeram. Sekiranya BN meyakinkan hanya separuh daripada penyokong mereka untuk mengundi PH, ia akan memastikan kemenangan meyakinkan buat gabungan itu.

Di Pulai, diperhatikan bahawa kebanyakan program Suhaizan dengan pengundi Melayu akan melibatkan pemimpin Umno Johor atau pusat.

“Fokus kami ialah Kempas. Kami menyasarkan 16,000 pengundi ‘putih’ kami,” kata seorang aktivis Umno yang berkempen di Pulai, merujuk kepada kod warna yang digunakan parti untuk mengenal pasti penyokong.

"Hitam" digunakan untuk melabelkan pengundi yang tidak boleh mereka menangi dan "kelabu" adalah untuk pengundi atas pagar.

Semasa pilihan raya 2022, Nur Jazlan Mohd dari BN memperoleh 31,098 undi, yang bermakna kebanyakan baki undi akan datang daripada ahli atau penyokong MCA dan MIC.

Apakah kemenangan untuk PN?

Beberapa penganalisis yang dihubungi Malaysiakini percaya bahawa strategi dan taktik PN sejak dua minggu lalu telah menunjukkan dengan jelas bahawa mereka tidak mempunyai jangkaan tinggi untuk memenangi kedua-dua pilihan raya.

Penganalisis Asrul Hadi Abdullah Sani berkata penyokong teras PN adalah orang Melayu yang memahami realiti peluang mereka.

“Strategi utamanya adalah untuk terus mengurangkan sokongan Melayu kepada Umno dan PH, tidak semestinya memenangi kerusi minoriti Melayu,” kata Asrul, yang merupakan timbalan pengarah urusan firma risikan risiko Bower Group Asia.

Begitu juga, penganalisis Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Azmi Hassan berkata realitinya PN "terlalu bergantung" pada penyokong teras Melayunya.

"Dengan mengurangkan majoriti kemenangan PH, PN sudah boleh dakwa mereka berjaya menarik pengundi Melayu.

"Pengundi Umno mungkin masih ada yang resah untuk mengundi PH tetapi kali ini calon yang bertanding dari Amanah, bukan DAP," katanya.

Azmi berpendapat Gerakan tidak banyak menyumbang kepada kempen PN, sedangkan DAP dari PH telah berjaya menghubungkan calon PH dengan pengundi bukan Melayu.

Oleh itu, saingan untuk Simpang Jeram dan Pulai nampaknya pertandingan siapa yang mampu menggerakkan penyokong teras mereka untuk hadir pada pilihan raya esok.

Beberapa aktivis parti menganggarkan sehingga 20,000 pengundi yang bekerja di Singapura. Untuk meningkatkan peluang menang, PN perlu berharap agar mereka tidak pulang mengundi.