Skip to main
Logo Malaysiakini

Hajiji yakin pembangunan Sabah dipercepat susulan lawatan Agong

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor yakin proses pembangunan infrastruktur di negeri itu dapat dipercepatkan susulan lawatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerusi Kembara Kenali Borneo.

Hajiji berkata dia yakin Al-Sultan Abdullah sebagai ketua negara akan berbincang dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai segala perkara berbangkit berkaitan pembangunan di negeri itu yang telah dipersembahkan kepada Seri Paduka semasa kembara di Sabah.

“Kita cukup teruja dan gembira kerana buat pertama kali seorang Yang di-Pertuan Agong membuat satu kembara di Sabah. Dalam kembara ini, rakyat dapat bertemu dan beberapa perkara dipersembahkan kepada baginda,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat di ibu pejabat parti itu di Kota Kinabalu, hari ini.

Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 Sept bermula di Tawau, Sabah dan akan berakhir di Telok Melano, Sarawak sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

Kembara di Sabah berakhir semalam selepas melalui lapan daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Ranau, Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang yang melibatkan perjalanan sejauh 985 kilometer.

-Bernama