Skip to main
Logo Malaysiakini

PN rapatkan jurang walau tewas di Pulai dan Simpang Jeram

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Sementara PH menang selesa di PRK Pulai dan Simpang Jeram, ini tidak bermakna gabungan itu boleh menarik nafas lega.

Walaupun menewaskan PN dengan majoriti yang boleh dikatakan besar, gabungan pembangkang itu tetap berjaya menambah sokongan.

PN meraih 10,330 undi di Simpang Jeram, iaitu peningkatan 62.7 peratus berbanding PRN Johor pada Mac 2022.

Begitu juga dengan Pulai, di mana PN mendapat 29,642 undi - peningkatan 43.4 peratus berbanding PRU15 pada November 2022.

Jumlah pengundi yang menyokong PN kali ini juga meningkat hampir 9,000 orang.

Apa yang menjadikan prestasi PN di Pulai lebih signifikan adalah kadar keluar mengundi yang rendah iaitu 47 peratus, berbanding 70 peratus pada PRU15.

Ini kemungkinan membayangkan PN berjaya menarik sejumlah undi sama ada dari PH atau BN.

Namun, analisis lengkap berkenaan peralihan sokongan hanya boleh dibuat selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka data pengundiannya untuk jualan.

Kadar keluar mengundi di Pulai terjejas ekoran keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Langit mendung hampir sepanjang hari dan hujan lebat ketika tengah hari.

Selain itu, ramai pengundi muda di Parlimen itu - yang dilihat lebih cenderung kepada PN - dipercayai bekerja di Singapura dan mungkin tidak pulang mengundi ekoran faktor cuaca dan tanggapan bahawa PRK kali ini tidak penting.

Zikri Kamarulzaman dan Andrew Ong menyumbang untuk laporan ini