Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid buat penampilan sulung di Kongres DAP

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Ahmad Zahid Hamidi membuat penampilan sulungnya pada Kongres DAP hari ini, selepas berdekad-dekad kedua-dua parti saling bersaing di pentas politik negara.

Ia sekali gus mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi presiden Umno pertama yang hadir Kongres DAP.

Ketibaan Zahid dalam kongres tahunan yang diadakan di Hotel Marriot, Putrajaya itu disambut dengan sorakan dan tepukan meriah daripada perwakilan DAP.

Kehadiran timbalan perdana menteri pada majlis itu adalah atas kapasitinya sebagai tetamu kehormat berikutan penubuhan kerajaan perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Turut mengiringi Zahid pada persidangan itu ialah Setiausaha Agung BN Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Selain tiga pimpinan BN itu, turut hadir dalam acara tersebut Presiden Amanah Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dan Naib Presiden PKR Amirudin Shari, serta Presiden Parti Bangsa Malaysia, Larry Sng.

Ia adalah kongres pertama DAP sejak bekerjasama dengan parti dan gabungan lain untuk membentuk kerajaan pada November tahun lalu.

Sejak membentuk kerajaan perpaduan, ketegangan politik antara DAP dan Umno semakin mengendur.

Pada Mei dan Jun lalu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke turut menghadiri Konvensyen Kerajaan Perpaduan dan Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur yang menjadi ibu pejabat Umno.