'Ahli Umno Pahang serah pada pimpinan tentukan calon PRK Pelangai'
Ahli Umno bersetuju untuk menghormati keputusan pucuk pimpinan parti dalam soal pemilihan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Pelangai, kata Pengerusi Umno Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.
Wan Rosdy berkata persetujuan itu dicapai ketika permukiman Umno Pahang di Institut Latihan Umno (Ilmu) di Janda Baik baru-baru ini.
"Di akhir permukiman kita telah setuju supaya menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan calon dan mereka (ahli) akan setuju.
"Ini bukan sahaja setakat ucapan, malah mereka juga bersetuju untuk berbaiah akan menyokong sesiapa saja calon yang akan ditentukan pucuk pimpinan," katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.
Wan Rosdy yang juga menteri besar Pahang berkata demikian ketika ditanya kemungkinan ada ahli Umno yang akan bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK Pelangai pada bulan depan.
Sebelum ini, bekas ketua penerangan Umno Bentong Haslihelmy DM Zulhasli menjadi individu pertama mengambil borang pencalonan untuk PRK Pelangai di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang.
Haslihelmy yang aktif sebagai presiden Persatuan Suara Anak Muda Pahang (PSAP) pernah menawarkan diri bertanding sebagai ketua Pemuda Umno Bentong pada pemilihan Umno awal tahun ini.
Dalam pada itu, Wan Rosdy menegaskan Umno Pahang tidak pernah memandang mudah cabaran untuk mempertahankan kerusi DUN berkenaan dan akan bekerja keras untuk memastikan ia kekal menjadi kubu BN.
"Kita (BN) dalam keadaan macam mana sekali pun, kita akan terus bekerja kuat dan tidak ambil mudah," katanya ringkas.
Dia juga memaklumkan pengumuman nama calon bagi PRK tersebut akan dibuat lebih awal berbanding 17 September yang diumumkan sebelum ini.
Katanya, setakat ini enam nama yang berpotensi menang sudah dalam pertimbangan BN Pahang dan sedang dinilai sebelum keputusan muktamad dibuat.
"Perbincangan bersama Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang diusahakan bagi mendapatkan persetujuan sebelum watikah dikeluarkan," katanya lagi.
PRK Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Johari Harun.
Pada 17 Ogos lalu, Johari antara 10 individu terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.
Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; calon PH Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai