Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan perlu permudahkan himpunan PN - Ahmad Fadhli

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) menggesa kerajaan mempermudahkan proses untuk gabungan itu mengadakan perhimpunan mereka pada Sabtu ini.

Dia berkata, PN sentiasa menjadi penyokong mengadakan perhimpunan aman bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka, termasuk membenarkan ahli parlimen PH berbuat demikian semasa mereka menjadi pembangkang.

"Tak ramai pun yang berhimpun. Kalau datang 10,000 orang pun tidak cukup untuk menggoncangkan kerajaan.

"Jadi tidak apalah kita berhimpun. Saya ahli parlimen buat undang-undang tidak berkonfrontasi dengan pihak polis, pihak berkuasa tetapi kita minta pihak kerajaan permudahakanlah urusan untuk berhimpun.

"Kalau nak tukar tempat kami tukar tempat dan sebagainya sekadar untuk meluahkan rasa bahawa rakyat tak puas hati dengan isu pengurusan undang-undang pada hari ini,” kata ketua Pemuda PN itu memberitahu Dewan Rakyat hari ini.

Perhimpunan Sabtu ini anjuran Pemuda PN di hadapan kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur bagi membantah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tetapi tidak dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan di mahkamah.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay (gambar, atas) berkata mana-mana pihak yang merancang untuk mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur pada 16 Sept ini perlu mengemukakan permohonan permit terlebih dahulu selain mendapat kebenaran daripada pemilik premis.

Dia memberi amaran tindakan tegas akan diambil sekiranya Akta Perhimpunan Aman (PAA) tidak dipatuhi, memetik Seksyen 9 (1) undang-undang itu.

Sementara itu, Fadhli menggesa kerajaan menjelaskan kenyataan polis tersebut.

Menurutnya, tiada permit diperlukan dan polis hanya perlu dimaklumkan mengenai sesuatu perhimpunan yang ingin dianjurkan itu.

Seksyen 9 (1) memperuntukkan penganjur hendaklah memberi notis mengadakan perhimpunan kepada ketua polis polis daerah dalam masa 10 hari sebelum tarikh acara.

Kata Fadhli lagi, PN tidak akan mengulangi bantahan "haram" oleh Ahli Parlimen PH - termasuk kini Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dua tahun lalu di luar parlimen.

Pemimpin PH, bersama ahli parlimen pembangkang lain pada masa itu, memutuskan untuk berarak ke bangunan parlimen pada 2 Ogos 2021, walaupun polis menyatakan ia tidak mematuhi PAA.

Mereka telah menggesa perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin dan kabinetnya meletak jawatan selepas pentadbiran tersebut menggantung parlimen semasa pandemik Covid-19.

"Kami akan patuh undang-undang, tetapi tolong mudahkan urusan kami,” jamin Fadhli.