Skip to main
Logo Malaysiakini

'Bila nak bagi peruntukan kawasan parlimen pembangkang?'

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Seorang ahli parlimen pembangkang sekali lagi membangkitkan isu mengapa mereka masih belum menerima sebarang peruntukan pembangunan kawasan daripada kerajaan persekutuan.

Awal tahun ini, kerajaan berkata ia akan memberikan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang sebaik sahaja perbincangan rasmi diadakan antara kedua-dua parti.

“Bagaimana kita boleh memperkasakan rakyat jika kerajaan dan pemimpin tidak menghormati hak rakyat,” soal Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) di Dewan Rakyat hari ini, semasa membahaskan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Dia menjelaskan peruntukan itu bukan untuk kegunaan peribadi ahli parlimen, tetapi demi kepentingan dan manfaat rakyat.

Ahli parlimen pembangkang secara konsisten membawa isu ini di Dewan Rakyat sejak awal tahun lagi.

Pada 25 April lalu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata pihaknya masih belum menerima permohonan rasmi daripada blok pembangkang untuk membincangkan isu peruntukan kewangan untuk ahli parlimennya.

Beliau berkata walaupun beliau bertemu Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengenai perkara itu, ia adalah pertemuan tidak rasmi.