Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno tanding sendirian? MKT akan putuskan - Dr Akmal

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Sebarang keputusan mengenai Umno bertanding secara sendirian dalam pilihan raya hanya akan diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, kata ketua pemuda Dr Muhamad Akmal Saleh.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan anggota MKT Isham Jalil yang mencadangkan Umno perlu bergerak secara solo dalam pilihan raya akan datang.

"Esok ada mesyuarat MKT. Mungkin itu merupakan pandangan peribadi Isham Jalil. Sudah pastinya sebagai ahli parti segala keputusan perlu diputuskan dalam MKT.

"Maka, kita tunggu esok MKT, jika cadangan itu dipersetujui maka ia dipersetujuilah, jika tidak, ia mungkin sekadar pandangan peribadi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda Umno, di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, Isham (gambar, atas) berkata Yang di-Pertuan Agong hanya menitahkan pembentukan kerajaan perpaduan dengan PH bukan bergabung dalam pilihan raya.

Kenyataan Isham itu dikeluarkan selepas Umno hanya menang 19 kerusi walaupun bertanding di lebih 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (Adun) pada pilihan raya di enam negeri.

Bagaimanapun, Isham dijangkakan akan dipecat sebagai anggota MKT bersama beberapa pemimpin Umno dalam mesyuarat esok.

Sementara itu, Akmal juga berkata bahawa sayap Pemuda Umno akan membentangkan hasil bedah siasat PRN dalam mesyuarat MKT.

"Suka saya maklumkan hasil post mortem yang pemuda jalankan baru-baru ini akan dipersembahkan dalam mesyuarat esok.

"Ada yang cakap-cakap post mortem didiamkan sahaja.

"Sebenarnya, kita menunggu mesyuarat MKT.

“Kita akan bentangkan untuk tindakan selanjutnya," katanya.