Skip to main
Logo Malaysiakini

Saya terpaksa guna duit sendiri sedekah kematian - MP PN

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Ahli Parlimen Ketereh Khlir Mohd Nor mendakwa dia terpaksa menggunakan duit sendiri untuk memberi 'sedekah' ketika menziarahi kematian dalam kawasannya.

Khlir juga berkata pejabat pusat khidmatnya juga tidak dapat beroperasi kerana tidak mempunyai peruntukan untuk berbuat demikian.

Oleh itu, dia berharap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dapat berlaku adil kepada semua ahli Parlimen pembangkang dengan memberi peruntukan sewajarnya.

"Permintaan terakhir daripada saya...saya mohon YB Tambun berlaku ada kepada semua ahli parlimen pembangkang.

"Peruntukan kena bagi, saya menghadapi masalah, pusat khidmat saya tak boleh operasi sebab saya tak boleh nak sewa, saya tak boleh nak bayar gaji.

"Saya pergi melawat orang mati pun satu hari lima ke tujuh orang, penduduk kawasan saya 300,000 orang, kena bagi sedekah guna duit saya sendiri," katanya ketika sesi perbahasan pada persidang khas di Dewan Rakyat, hari ini.

Khlir berkata demikian semasa membahaskan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Terdahulu hari ini, Ahli Parlimen PN Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman (gambar, bawah) membangkitkan isu mengapa mereka masih belum menerima sebarang peruntukan pembangunan kawasan daripada kerajaan persekutuan.

Awal tahun ini, kerajaan berkata ia akan memberikan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang sebaik sahaja perbincangan rasmi diadakan antara kedua-dua parti.

“Bagaimana kita boleh memperkasakan rakyat jika kerajaan dan pemimpin tidak menghormati hak rakyat,” soal Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) di Dewan Rakyat semasa membahaskan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Saya harap YB Tambun mendengar apa yang saya cakap ini," katanya lagi sambil meminta kerajaan memberi perhatian ke kawasan Ketereh dalam pembangunan RMK12.