Skip to main
Logo Malaysiakini

RMK12: Jangan teragak-agak laksana rancangan baik - penganalisis

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada hari Isnin membentangkan kepada parlimen Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) - satu cadangan komprehensif oleh kerajaan yang merangkumi 17 perubahan dasar supaya pelan itu selaras situasi ekonomi negara pada masa kini.

RMK12 dilihat sebagai satu pakej lengkap untuk membantu menyemarakkan ekonomi dan mengurangkan jurang ketidaksetaraan negara.

Namun, dua orang penganalisis berkongsi dengan Malaysiakini kebimbangan mereka mengenai bahagian pelaksanaan RMK12 yang dikaji semula.

Kata mereka, tanpa mengira sebagus mana rancangan yang disediakan dan dibentangkan itu, pelaksanaan sentiasa menjadi titik perbahasan dalam Rancangan Malaysia.

"Malaysia mempunyai rekod yang sangat buruk dalam melaksanakan Rancangan Malaysia.

“Rancangan Malaysia biasanya disusun dengan cara yang sangat cantik, mempunyai matlamat yang muluk-muluk, penanda indeks prestasi yang baik dan sebagainya.

"Tetapi apabila sampai pada pelaksanaannya, kita tidak pernah melakukannya dengan cukup bagus.

"Saya tidak pernah tahu sebarang Rancangan Malaysia yang benar-benar berjaya dalam mengubah ekonomi negara," kata penganalisis politik James Chin (gambar, bawah).

Menurut Chin, seorang profesor dalam bidang kajian Asia di Universiti Tasmania, kajian separuh penggal yang dibentangkan oleh Anwar semalam terutamanya dirancang semula untuk menyesuaikan RMK12 dengan matlamat ekonomi kerajaan Madani pimpinannya.

"Ini kerana RMK12 pada asalnya disusun oleh pentadbiran sebelum ini di bawah pimpinan perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

"Kerajaan biasanya berjanji bahawa mereka akan mengubah ekonomi Malaysia (di bawah RMK).

"Tetapi setakat ini saya belum melihat mana-mana (pentadbiran) yang telah berjaya melakukannya.

"Selalunya terdapat masalah... contohnya (pembangunan) BCIC (Komuniti Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera), ia tidak ke mana sepanjang 50 tahun yang lalu."

Chin juga menyoal rancangan kerajaan untuk menetapkan hala tuju baru bagi agenda bumiputera negara, yang dikatakan Anwar bakal melibatkan penumpuan ke arah meningkatkan program yang akan melibatkan lebih banyak usahawan serta syarikat kecil dan sederhana.

Ahli akademik tersebut berkata ini bukanlah kali pertama Rancangan Malaysia menyusun agenda untuk memperkasakan ekonomi bumiputera dan ini mungkin akan menjadi satu lagi kisah 'gagal'.

"Banyak idea mengenai penyertaan bumiputera telah berlegar-legar selama bertahun-tahun, tentang bagaimana mereka menjadikan bumiputera lebih berkeusahawanan, lebih berdaya saing...

"Semua ini pernah dicuba sebelum ini dan tidak berjaya," katanya.

"Kamu tidak boleh memaksa komuniti bumiputera untuk mengambil jalan keusahawanan, sama seperti anda tidak boleh memaksa orang Cina untuk melakukannya.

“Ia lebih organik daripada itu," kata Chin lagi.

Sekat pengaruh PN

Seorang lagi ahli akademik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi (gambar, bawah) dari Universiti Malaya, turut berkongsi pandangan serupa, walaupun lebih optimis.

Pakar pengajian Melayu itu percaya versi yang dikaji semula daripada RMK12 yang dibentangkan oleh Anwar semalam mempunyai keupayaan untuk menangani isu pembangunan ekonomi Malaysia dan masalah kewangan rakyat.

Bagaimanapun, dia juga menekankan tentang pentingnya pelaksanaan rancangan yang digariskan itu dalam mencapai objektifnya.

"Agenda-agenda yang disenaraikan PM Anwar dalam pembentangan di parlimen semalam dijangka mampu membawa memulihkan ekonomi negara serta meningkatkan keyakinan rakyat kepada kerajaan Madani.

"Namun ini bergantung kepada pelaksanaan dari segenap peringkat-dari peringkat atas, menengah hingga bawahan," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, amat penting bagi pentadbiran Anwar untuk menjelaskan dengan teliti semua usahanya kepada rakyat.

Mengenai pemberdayaan agenda bumiputera, penganalisis itu percaya Anwar cuba membantu membangunkan orang Melayu supaya ekonominya lebih berdaya tahan.

Katanya, ini akan mencipta sebuah masyarakat yang berdikari secara ekonomi dan akhirnya menyokong usaha kerajaan.

"Langkah ini mampu membantu PM dalam menaikkan keyakinan orang Melayu terutamanya bagi mengembalikan sokongan rakyat serta mengekang kemaraan Perikatan Nasional," jelasnya.

Awang Azman juga menekankan untuk RMK12 berjaya, ia memerlukan iltizam daripada rakyat untuk mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi negara.

"Kerajaan boleh menyediakan pelbagai platform dan mediun kepada rakyat yang memerlukan.

"Namun jika tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya dengan budaya kerja cemerlang maka ia tidak akan dapat memberikan impak besar yang dihasratkan kerajaaan," katanya.

Menurut Awang Azman, perdana menteri juga mempunyai beberapa perkara yang boleh ditingkatkan dalam pelaksanaan RMK12 untuk mengubah sokongan daripada PN kepada pihaknya.

Menurutnya, kerajaan pimpinan Anwar mesti menunjukkan ketulusan mereka dalam membantu rakyat tanpa mengira kecenderungan politik, termasuk di negeri-negeri dan kawasan yang menolak gabungan PH dalam pilihan raya baru-baru ini.

Tutup kebocoran

Sementara itu, Chin berkata RMK12 melibatkan kerajaan meneruskan subsidi untuk rakyat untuk membantu mereka secara kewangan, walaupun dengan pendekatan subsidi bersasar.

Perkara ini, jelas Chin bukan baru dalam Rancangan Malaysia dan pendekatan seperti itu mungkin sekali lagi akan gagal jika pentadbiran negara tidak tegas dalam menyekat kebocoran dalam perbelanjaan kerajaan.

"Mereka benar-benar memerlukan pendekatan tegas dan menghentikan kebocoran. Terdapat beberapa kajian ekonomi yang menunjukkan kebocoran dalam perolehan kerajaan Malaysia.

"Beberapa kajian itu menggerunkan, mereka mengatakan 50 sen daripada setiap ringgit telah lesap atau menyerap ke dalam sektor yang disebut sebagai tidak produktif.

"Pemahaman yang mudah, jika kita boleh beli sebuah komputer riba dengan harga RM1,000 di pasaran terbuka, tetapi dengan cara tertentu apabila dibeli oleh kerajaan, kerajaan harus membayar harga RM1,500," katanya.