Skip to main
Logo Malaysiakini

Guan Eng minta pemisahan kuasa AG, pendakwa raya selesai setahun

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Kerajaan perlu menetapkan tempoh tertentu untuk menyempurnakan proses memisahkan kuasa di antara pendakwa raya dan peguam negara (AG), kata Lim Guan Eng.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu hanya dengan langkah tersebut rakyat dapat diyakinkan dengan kesungguhan kerajaan melaksanakan pembaharuan tersebut.

“Saya harap pihak kerajaan boleh berikan tempoh masa setahun untuk menyempurnakan pemisahan kuasa di antara pendakwa raya dan juga peguam negara.

“Hanya dengan langkah ini, kita percaya (kerajaan) dapat meyakinkan rakyat semangat reformasi yang ada dalam kerajaan perpaduan ini masih membara-bara, lagi dan bukan seperti yang dilaungkan oleh pihak tertentu," katanya semasa membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Gesaan pengerusi DAP itu dibuat ketika kerajaan menerima kecaman dari pelbagai pihak ekoran langkah Jabatan Peguam Negara menghentikan prosiding mahkamah ke atas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Langkah itu menyebabkan Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi semua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Kata Lim, bagi memastikan pembaharuan itu terlaksana tentu ada jawatankuasa khas yang ditubuhkan.

"Sekiranya kita boleh beri tempoh masa setahun, ini boleh meyakinkan rakyat tentang niat baik oleh pihak kerajaan perpaduan,” katanya.

Pada 8 Sept BH memetik Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai berkata cadangan pengasingan kuasa di antara AG dan pendakwa raya sudah dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk penelitian lanjut.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman memaklumkan dua pasukan petugas khas akan dibentuk untuk mempercepatkan proses tersebut.

Tanpa menyebut secara terperinci, Lim turut meminta AG yang baru dilantik, Terrirudin Mohd Salleh, dapat memberikan penjelasan lebih lanjut berhubung keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan.

Ia dipercayai merujuk kepada keputusan DNAA yang melibatkan Ahmad Zahid.

“Pihak kerajaan perlu akui, masih ada banyak pihak yang kurang berpuas hati termasuk Majlis Peguam.

“Saya rasa kalau penjelasan yang lebih menyeluruh dan lebih terus akan dapat meyakinkan rakyat tentang apa yang diputuskan oleh pihak peguam negara,” katanya.