Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersih gesa k'jaan permudah, bukan sekat himpunan aman

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Bersih menggesa pihak berkuasa untuk mempermudahkan perhimpunan dan tidak menghalangnya kerana perlembagaan menjamin hak rakyat untuk berhimpun secara aman.

NGO reformasi pilihan raya itu mengulas keputusan polis menyekat perarakan sekumpulan petani dari Chemor, Perak yang berjalan ke parlimen semalam untuk menyampaikan memorandum membantah pengusiran di tanah yang mereka usahakan atas sebab pembangunan.

"Polis bertanggungjawab untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan dengan membantu perhimpunan aman dengan memastikan keselamatan peserta dan kawalan trafik.

"Kami kecewa dengan tindakan berlebihan pihak polis yang menghalang himpunan untuk menghantar memorandum oleh sekumpulan petani dan aktivis di luar parlimen semalam.

"Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana himpunan aman untuk menghantar memorandum kepada ahli parlimen adalah norma demokratik yang perlu dibantu, bukannya dihalang oleh pihak berkuasa," kata jawatankuasa pemandu Bersih pada satu kenyataan hari ini.

NGO itu juga berkata parlimen dan pihak berkuasa harus mempermudahkan perhimpunan pada masa akan datang yang bertujuan menyerahkan memorandum dapat berlangsung secara aman dan tertib, sama ada di dalam atau di luar parlimen.

'Ingat janji pada rakyat'

Bersih turut membidas Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay kerana memaklumkan mana-mana pihak yang merancang mengadakan perhimpunan perlu memohon permit lima hari sebelum perhimpunan, di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ayob Khan mengulas rancangan Pemuda PPN untuk berhimpun di hadapan Sogo pada hari Sabtu (16 Sept), bagi membantah keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan berkait kes Yayasan Akalbudi.

"Hal ini adalah tidak tepat memandangkan Akta Perhimpunan Aman 2012 hanya memerlukan penganjur himpunan untuk memberi notis kepada pihak berkuasa dan bukannya memohon permit atau keizinan polis seperti waktu dulu.

"Kami menggesa pihak polis untuk membantu pihak yang membuat protest dengan memastikan keselamatan peserta dan juga kawalan trafik," kata Bersih lagi.

NGO itu memberi contoh himpunan Bersih yang keempat dan kelima dapat berlangsung dengan lancar dan teratur walaupun dengan bantuan minimum daripada pihak polis.

"Kami menggesa pihak polis untuk melaksanakan tugas mereka secara profesional dengan menyediakan segala bantuan yang diperlukan kepada penganjur himpunan supaya dapat melunaskan hak demokrasi mereka.

"Kami sekali lagi mengingatkan mereka yang berkuasa bahawa janji mereka kepada rakyat semasa PRU15 bahawa mereka mendapat undi daripada rakyat berdasarkan janji dan iltizam untuk menyemak dan menghapuskan akta-akta yang mendekam suara dan disalahguna untuk menghalang kebebasan bersuara.

"Penjajaran gabungan politik tidak seharusnya mengetepikan janji tersebut kepada rakyat serta kami menggesa mereka menunaikan dan menegakkan janji tersebut," kata Bersih.