Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis tahan bapa kandung, ibu tiri disyaki dera anak

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Polis menahan pekerja kilang dan isterinya di Bahau, Negeri Sembilan semalam kerana disyaki mendera anak lelakinya berusia enam tahun sejak Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki terbabit yang juga bapa kandung mangsa berumur 27 tahun dan wanita yang dipercayai ibu tiri mangsa berumur 31 tahun ditahan selepas polis menerima maklumat awam berkenaan kejadian itu.

Beliau berkata maklumat yang diterima pada 2.30 petang itu mengatakan seorang kanak-kanak lelaki yang merupakan anak sulung daripada empat beradik, melarikan diri dari rumah akibat didera.

“Mangsa dipercayai dipukul oleh bapa kandung dan ibu tiri dengan tangan, menendang, merotan dan menggunakan senduk kayu. Tiga lagi anak lain tidak didera.

“Pemeriksaan terhadap mangsa mendapati terdapat banyak kesan parut dan luka di seluruh tubuh badannya.

"Kanak-kanak itu telah menerima rawatan lanjut di Hospital Kuala Pilah dan doktor mengesahkannya mengalami pelbagai kecederaan pada tubuh badan,” katanya dalam kenyataan di Seremban hari ini.

Hoo berkata kedua-dua suspek kemudian direman selama seminggu bermula hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

- Bernama