Skip to main
Logo Malaysiakini

MP: Syed Saddiq tarik balik sokongan tak beri kesan besar pada k'jaan

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Ketua pemuda PH Kedah Mohammed Taufiq Johari berpandangan penarikan sokongan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak akan memberi kesan besar dalam kerajaan persekutuan.

Taufiq yang juga ahli parlimen Sungai Petani berkata sokongan terhadap kerajaan PH-BN serta GPS dan GRS masih kukuh dan pelan perjalanan kerajaan dapat diteruskan dengan sokongan padu.

Bagaimanapun, dia berharap agar presiden Muda itu tetap menyokong sebarang pindaan Perlembagaan yang membawa kebaikan kepada rakyat, memandangkan ia memerlukan sekurang-kurangnya sokongan dua pertiga ahli parlimen di Dewan Rakyat.

“Kalau pun hilang dua pertiga majoriti, saya nak melihat parti Muda yang diwakili oleh YB Muar, kalau kita nak pinda apa-apa perlembagaan yang perlu melibatkan dua pertiga majoriti, saya ingin melihat adakah dia akan tetap menyokong jika pindaan itu memberi kebaikan kepada rakyat, atau dia tidak akan menyokong.

“Dari situ kita boleh nampak keikhlasannya untuk menyokong sesuatu pindaan, tapi apa pun (langkah Syed Saddiq menarik sokongan) tidak berikan impak yang begitu besar,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Pada 10 september lalu, Muda mengumumkan keluar daripada blok perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas sebab kecewa dengan keputusan peguam negara yang melepaskan tanpa membebaskan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Diminta mengulas mengenai kerusi yang dimenangi Muda sebelum ini seperti DUN Puteri Wangsa, Taufiq memberitahu parti itu sepatutnya tahu kemenangan yang diraih di kerusi tersebut atas usaha jentera PH dan undi penyokong PH.

“Sebenarnya pengundi mengundi Muda sebab apa? Adakah sebab parti semata-mata atau disebabkan oleh gabungan Muda sewaktu itu?

“Jadi dia perlu fikir hal itu… dan saya tidak akan gesa untuk kosongkan kerusi (Puteri Wangsa) tapi ingatlah bahawa dia dapat kerusi itu kerana belas ihsan pengundi-pengundi di sana, yang mana sewaktu itu dia dan partinya bersama dengan PH.

“Kebanyakan yang mengundi dia pun adalah pengundi PH ketika itu dan jentera yang digunakan adalah jentera dari PKR, Amanah, DAP,” dakwanya.

Semalam, Timbalan Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan memberi kata dua kepada Adun Puteri Wangsa Amira Aisya Abd Aziz, yang merupakan wakil tunggal Muda di DUN Johor, sama ada menyertai Amanah atau mengosongkan kerusi itu.

Aminolhuda berkata ini kerana kerusi DUN Puteri Wangsa yang disandang timbalan presiden Muda itu adalah milik Amanah.