Jangan lupa PH bangkit dari jalanan - Bekas aktivis Bersih
Bekas setiausaha jawatankuasa Bersih Mandeep Singh tidak asing lagi dengan protes jalanan atau ugutan polis.
Pada malam sebelum demonstrasi Bersih 5 pada 2016, dia telah ditangkap bersama pengerusi NGO reformasi pilihan raya ketika itu Maria Chin Abdullah.
Menjelang demonstrasi yang dirancang terhadap keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Mandeep mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan supaya tidak melupakan masa lalu.
“Kita jangan lupa dari mana kita berasal. Kami juga pernah membuat bantahan di jalanan,” katanya kepada Malaysiakini.
“Kita sekarang memegang kuasa, tetapi kita tidak sepatutnya berkelakuan seperti rejim-rejim terdahulu, yang bertindak keras terhadap perbezaan pendapat,” tambahnya.
Man Deep yang juga setiausaha politik kepada Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh mengulas siasatan polis terhadap rancangan PN untuk mengadakan bantahan pada 16 Sept bersempena Hari Malaysia, berhubung keputusan DNAA itu.
Ini berdasarkan sebaran video TikTok yang menggesa orang ramai berhimpun di pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur.
Mandeep berkata amat penting bagi penganjur untuk mematuhi prosedur yang sama seperti ketika perhimpunan Bersih, dengan menyerahkan dokumen yang diperlukan kepada pihak berkuasa berkaitan.
Bagaimanapun, dia berkata pematuhan prosedur ini masih tidak menghalang pihak berkuasa pada waktu itu daripada mengekang himpunan Bersih dan pesertanya.
Oleh itu, Mandeep berharap protes yang akan datang tidak menyaksikan tindakan serupa diambil ke atas mereka.
“Ini bukan soal menyokong atau tidak menyokong perhimpunan itu. Ia berkenaan prinsip asas seperti hak untuk berhimpun secara aman dan hak untuk bersuara.
“Kita bukan sahaja perlu bercakap tentang reformasi, kita perlu melaksanakannya.
“Ingat. Hampir semua menteri PH hari ini, termasuk perdana menteri, pernah membuat bantahan di jalanan,” katanya.
Dalam pada itu, Man Deep turut mengimbau Zahid juga pernah turun ke jalanan pada 2018 untuk menyertai perhimpunan anti-Icerd (Konvensyen PBB mengenai penghapusan semua bentuk diskriminasi kaum).
Sementara itu, Pemuda PN, yang menganjurkan protes “Selamatkan Malaysia” pada 16 Sept depan, kini telah menjenamakan semula himpunan itu sebagai sambutan Hari Malaysia.
Pada tahun 2020, himpunan “Selamatkan Malaysia” telah diadakan di sekitar Sogo untuk membantah kerajaan PN, yang berkuasa berikutan rampasan kuasa politik selepas menggulingkan pentadbiran PH.
Pada masa itu, polis telah menyiasat bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan dan aktivis Marina Mahathir yang juga anak perempuan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung penglibatan mereka dalam protes itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai