Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Prinsip bagi orang Muar

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Prinsip perlulah berasaskan nilai keadilan dan makna kebenaran. Prinsip palsu yang tidak berasaskan kedua teras itu—atau punya maksud-maksud lain—ia pasti terlihat poyo dan selalu berubah-ubah. 

Lebih menakutkan, apa yang konon dinamakan ‘prinsip’, kelak bisa membuahkan kezaliman atau kerosakan yang besar. Asas sebegini merupakan pemahaman biasa bagi pakcik-pakcik yang sedang ngopi warung tepi jalan dekat Pekan Parit Jawa, Muar.

Contoh “prinsip ke laut”, yang asasnya keliru dan salah banyak tercatat dalam sejarah dunia.

Adolf Hitler di Jerman juga berjuang atas apa yang dinamakan sebagai “grundsätzlich”, yang bermaksud “prinsip”—walaupun Nazisme memang tidak punya asas keadilan dan kebenaran apa-apa. Ia hanya sejenis kekejaman yang menunggang nama agama, bangsa dan negara.

Sebenarnya baik Islam atau Kristian, prinsip semacam Nazi memang tidak wujud meski sejauh mana pun sejarah Yahudi dikecam dalam al-Quran atau Alkitab. Pembersihan etnik seperti yang dilakukan tidak lebih sekedar ‘prinsip’ dari nafsu Hitler sendiri yang bercita-cita menjadi pemimpin besar; bukan dari pemahaman agama atau budaya yang suci.

Kepalsuan prinsip dapat dilihat tatkala kemaraan Tentera Berikat yang menghampiri ke 

wilayah Führerbunker, di mana akhirnya Hitler pun membunuh diri.

Bagaimanapun jua, Hitler sempat melangsungkan pernikahan ringkas dengan kekasihnya, Eva Braun—kita tahu, di sepanjang hayatnya, Hitler membujang; tidak berkahwin; kecuali punya seorang perempuan simpanan itu. Hitler yang berlagak sebagai “pejuang A-ba-ta” juga punya kehidupan yang tidak dipandu oleh kebaikan agama atau kebiasaan budaya orang  Eropah. Dia memang watak yang pelik. 

Seusai upacara nikah, ketika pasukan tentera Jerman mulai terkepung, Hitler membunuh perempuan yang baru bergelar isterinya. Sejurus itu, Hitler pun menembak tengkorok lehernya. Peluru tembus ke kepala.

Namun Hitler sudah berwasiat. Mayatnya perlulah dibakar. Dia tidak mahu jasadnya dapat disentuh atau dipungut sesiapa. Dia sebenarnya tidak menerima kekalahan!

Maka, apa yang selama ini dilihat sebagai “grundsätzlich” sebenarnya tak lebih cuma super-ego semata. Dalam pengertian orang-orang kampung di Sungai Balang darat, Muar, ia disebut sebagai “bodoh sombong tahap dewa.” Prinsip palsu, super-ego atau bodoh sombong sebegitu jadi tanda seorang yang tidak faham nilai keadilan dan makna kebenaran.

Kisah “prinsip yang asalkan prinsip” juga boleh ditemui di dalam banyak sejarah bangsa-bangsa lain—itu pun kalau orang yang bercakap tentang prinsip selalu mahu memahami hubungan dirinya dengan kemanusiaan sejagat. Seorang anak muda Muslim, justeru perlu mengurangkan terkinja-kinja di Tiktok, seraya menginsafi bahawa ‘berprinsip’ juga bukanlah alasan untuk menganiaya insan lain, menindas rakyat atau membinasakan tamadun bangsa.

Ketika Castro menentang Amerika

Contoh lain di Cuba ketika Fidel Castro berjuang menentang imperialisme Amerika. Pada awalnya dia dilihat sangat waja bermati-matian demi perjuangan rakyat tertindas. Bersama Che Guevara, mereka melancarkan perang gerila dari gunung dan belantara tebal—itu perjuangan hidup mati dan bukan setakat bertanding beberapa kerusi dalam pilihan raya.

Bila berjaya, Castro mula berkeras dengan terus menjadikan bayang-bayang kuasa besar Amerika sebagai ‘prinsip’ untuk mengongkong demokrasi ke atas rakyat terbanyak. Puluhan tahun sistem sosialisme-Leninis dipaksakan. Dan sejak itu kebebasan mati suri, sedangkan di awal pemberontakkannya, Castro mahu membebaskan rakyat daripada penindasan penjajah.

Hidup bawah pemerintahan “Castro yang berprinsip” sama sahaja dengan penderitaan di bawah penjajahan kuasa luar. Di sini bolehlah disebutkan bahawa ‘prinsip’ rupa-rupanya tidak lebih hanya nama lain kepada faham aliran keras; yang tak reti bermesyuarah, serta; membibitkan ciri-ciri awal seorang diktator.

Hitler, Lenin, Castro, Moa Tse Tung, Kim Jong-un: bukankah semua diktator muncul atas nama ‘prinsip’? Dan “prinsip asalkan berprinsip” sebenarnya juga sejenis sandiwara yang bertujuan menimbulkan pesona heroistik di mata orang kampung di Parit Bugis, Muar. Kononnya, “akulah hero… jaguh yang tidak terkalahkan!”

Sejarah juga menunjukkan bahawa semua diktator—yang berprinsip dengan asas yang keliru—sentiasa memerlukan musuh yang perlu dihabisi. Kalau tak ada kebencian, hidup mereka jadi tak bermaya—justeru musuh pun selalu diciptakan. Menciptakan musuh menyebabkan mereka mencari-cari apa yang dipanggil orang Parit Jawa, Muar, sebagai “punching bag”. 

Sejak Anwar Ibrahim jadi PM, belum ada rekod yang kabinetnya terpalit skandal rasuah atau pelanggaran tata kelola. Ertinya belum seorang pun menteri yang boleh dijadikan “punching bag” atau kambing hitam. Yang dimainkan politikus geram seperti Shahidan Kasim cuma ejek-ejekan dalam ceramah yang disambut laungan takbir oleh dua-tiga kerat pemuda PAS.

Kes Zahid merupakan kes yang meletup ketika dua tahun dua bulan Dr Mahathir Mohamad jadi PM ke-7. Ada desas-desus yang menyatakan puluhan kes pendakwaan itu diada-adakan sebagai tekanan mendesak Zahid membubarkan Umno.

Bagi Mahathir, penting untuk Umno dibubarkan sebagai permulaan baharu politik Melayu. Selagi Umno adalah Umno seperti sekarang yang bukan di bawah pengaruhnya, parti-parti Melayu yang lain, sama ada PAS, Bersatu, Pejuang, Putra dan lain-lain tak boleh cari makan. 

Strategi Mahathir untuk memaksa Zahid membubarkan Umno adalah untuk memberi kesempatan seluasnya kepada Bersatu menggantikan Umno. Mungkin dalam beberapa bulan selepas Umno berjaya dibubarkan seperti perancangan Mahathir, Bersatu bolehlah menggantikan nama partinya menjadi Umno (Baru) pula. Mereka hanya perlu salin kulit sementara saf pimpinan Bersatu menjadi jawatankuasa penaja “Umno baru.”

Helah 80-an

Helah sama pernah dibuat Mahathir ketika berdepan “Tim B” dari kem Tengku Razaleigh Hamzah pada penghujung 1980-an. Selain menggunakan tipu muslihat untuk menang jawatan presiden; Umno juga diharamkan oleh mahkamah atas sebab teknikal ada cawangannya yang tidak didaftarkan dengan ROS.

Di sinilah Mahathir mengambil kesempatan untuk mendaftarkan semula Umno versinya, yang dikenali sebagai “Umno Baru.” Menguasai semula Umno melalui “Umno Baru” sekaligus menjadikan musuh-musuh politik Mahathir tercampak keluar.

Memang jelas tujuan awal Mahathir adalah untuk menyingkir dan memenjarakan Najib Razak. Apabila tujuan itu tercapai, langkah kedua ialah menguasai semula Umno dengan cara mematikan “Umno Zahid” sebelum diganti menjadi Umno berbinkan Muhyiddin Yassin atau sesiapa sahaja yang boleh dikawal oleh Mahathir.

Sialnya, rancangan Mahathir bukan sahaja telah ditangkis oleh Zahid, tetapi turut digagalkan secara tak sengaja dek kobodohan dan kegopohan Muhyiddin sendiri. Muhyiddin gagal membaca perancangan halus Mahathir apabila dia lebih kemaruk untuk cepat-cepat dapat jadi PM dalam “Langkah Sheraton.” Kalau tempohari Muhyiddin ikut sahaja rentak Mahathir, mungkin kini dia sudah menjadi presiden “Umno baru 2.0”, iaitu Umno versi Mahathir itu.

Dengan 87 pertuduhan, di atas kertas, karier politik Zahid sepatutnya sudah hancur jadi debu. Kalau mental tak kuat, tentu Zahid sudah koyak sebelum kembali menyembah Mahathir sebagai “godfather” politik Malaysia.

Jauh dalam hati orang yang hidup di sepanjang pinggir Sungai Muar, mereka sebenarnya dapat merasakan bahawa Mahathir tidak pernah jujur dalam melawan rasuah. Banyak jerung yang terlepas dan tidak didakwa—termasuklah nama-nama yang kini jadi pemimpin utama PN, atau yang masih menjadi agen Mahathir-Muhyiddin sebagai duri dalam daging Umno.

Justeru kes Zahid yang tidak diteruskan oleh peguam negara telah membuka kembali cerita apa yang sebenarnya berlaku? Di era Muhyiddin menjadi PM-8 pun, sebanyak 40 pendakwaan terhadap Zahid diputuskan tidak bersalah oleh mahkamah. Kes-kes berkenaan memang susah nak lekat.

Bagi orang di Sri Menanti pula, juga di Muar, sesuatu kes tidak akan lekat kalau wujud unsur-unsur sabotaj politik, mengada-adakan bukti atau pemaksaan seperti yang terhidu di dalam buku mantan peguam negara, Tommy Thomas: “My Story: Justice in the Wildness.” Beberapa dokumen yang tersebar baru-baru ini juga—menjadi bahan bukti baharu—dengan menunjukkan wujud konspirasi bermotif penganiayaan politik.

Mahkamah tidak boleh lagi dijadikan tempat balas dendam atau hukuman politik macam zaman Mahathir 1.0. Pejabat peguam negara juga sudah memberikan jaminan bahawa kes Zahid perlu disiasat lebih lanjut sebagai usaha mencapai maksud keadilan dengan seadil-adilnya. Orang Parit Bakar, Muar, tidak mahu lagi kes penganiayaan terhadap Anwar berulang kepada mana-mana pemimpin lain.

Kekeliruan terhadap istilah prinsip 

Kekeliruan terhadap istilah prinsip bukan sahaja terkena kepada para politikus bangka dan muda, tetapi mula terjangkiti di kalangan agamawan sampai yang bergelar mufti. Sedangkan selama ini agamawan yang sama selalu mengingatkan kita untuk “berpegang teguhlah kepada tali Allah”—bukan kepada prinsip yang didorong oleh nafsu, kebencian dan dendam.

Sepertimana semua penjahat politik di mana pun dalam sejarah dunia, ‘prinsip’ juga selalu dijadikan jampi serapah untuk memperbodoh-dungukan rakyat. Namun selagi rakyat itu berupa manusia yang ada fitrah, hati nurani dan akal, selagi itulah tidak semua di antara kita boleh diseret untuk hangus di dalam api sentimen dan kebencian.

Sebaliknya, mereka yang menghasut untuk rakyat jadi buta dan tuli terhadap keadilan dan kebenaran, orang itulah nantinya akan dihumban ke dalam neraka kehancuran.

Ya, hampir semua orang Muar memang faham betul akan duduk perkara asas ini.


HASMI HASHIM atau turut dikenali sebagai Budi Hekayat ialah seorang penulis lirik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.