Muda, PSM tangguh berhimpun di parlimen esok
Muda dan PSM membatalkan rancangan untuk berhimpun di parlimen esok (Khamis) yang bertujuan mengumumkan rancangan mereka mengadakan bantahan terhadap keputusan melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan di mahkamah.
Terdahulu, Setiausaha Agung Muda Amir Hariri Abd Hadi pada Isnin berkata pemimpin kedua-dua parti itu akan berhimpun di parlimen pada Khamis untuk menyerahkan memorandum dan mengumumkan rancangan protes bersama NGO masyarakat sivil.
Bagaimanapun, Amir pada hari ini berkata pihaknya masih belum bertemu dengan NGO berkenaan untuk membincangkan tindakan seterusnya.
Oleh itu, katanya pengumuman mengenai bantahan itu telah ditangguhkan.
"Muda, PSM, dan pertubuhan masyarakat sivil akan mengadakan mesyuarat dan perbincangan tidak lama lagi.
"Sebaik kami memutuskan tarikhnya, kami akan mengumumkannya kepada media," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Apabila ditanya jika rancangan protes Muda dan PSM ini dijangka ditangguhkan ke minggu depan, dia menjawab, "kemungkinan besar" akan berlaku.
Ditanya lebih lanjut sekiranya PSM dan Muda akan menghadiri perhimpunan Pemuda PN yang dijadualkan pada 16 September, Amir berkata kebarangkalian besar dua parti itu tidak akan menyertai protes tersebut.
“Belum ada perbincangan (belum), 80 hingga 90 peratus tidak akan sertai (himpunan PN),” katanya.
PN mengumumkan rancangan bantahan terhadap keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid selepas pendakwa menarik balik pertuduhan dalam kes Yayasan Akalbudinya.
Bagaimanapun, selepas bertemu dengan polis, PN nampaknya mengubah acara perhimpunan mereka pada 16 Sept depan sebagai "pertemuan" untuk meraikan Hari Malaysia.
Kumpulan baju merah yang diketuai oleh Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos sedang merancang perhimpunan balas menentang PN.
Secara berasingan, Bersih juga merancang kempennya sendiri terhadap keputusan DNAA Zahid.
Tidak jelas jika Bersih akan menjadi salah satu NGO yang terlibat dengan Muda dan PSM.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai