Skip to main
Logo Malaysiakini

Rafizi: Untuk basmi kemiskinan, k'jaan fokus tingkat pendapatan isi rumah

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Kerajaan kini memberi fokus pada meningkatkan pendapatan isi rumah dan pembasmian kemiskinan akan menyusul selepas itu, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Rafizi berkata kerajaan sedang melabur dalam infrastruktur bagi mewujudkan program menjana pendapatan yang lestari.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri ‘Power Chat’ Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan melancarkan Persidangan Usahawan Cina Dunia Ke-17 (WCEC) di Putrajaya hari, Rafizi berkata infrastruktur bukan sekadar ‘alat’ atau ‘instrumen’ malah ia adalah aset yang menjana pendapatan bagi peserta atau penerima daripada keluarga berpendapatan rendah.

Katanya, sebaik sahaja terdapat kemajuan pada usaha meningkatkan tahap pendapatan isi rumah, sebahagian faktor yang diambil kira dalam indeks kemiskinan multidimensi akan bertambah baik, sebagai contoh, akses kepada Internet dan penjagaan kesihatan.

“Apabila tahap pendapatan meningkat, kualiti hidup turut meningkat, jadi fokus pada meningkatkan tahap pendapatan.

“Dengan pendapatan yang lebih baik, mereka boleh menangani kos sara hidup dengan lebih baik dan mampu mempunyai akses kepada semua ciri indeks kemiskinan muldimensi,” katanya.

-Bernama