Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Hentikan PRK tidak perlu

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Pada 9 September lalu berakhirlah kehangatan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P161 Pulai dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Simpang Jeram dengan pengekalan status quo.

Di P161 Pulai calon Amanah, Suhaizan Kayat, menang dengan majoriti 18,641 undi manakala di N13 Simpang Jeram seorang lagi calon Amanah, Nazri Abdul Rahman, menang dengan majoriti 3,514 undi.

Kedua-dua PRK ini dilangsungkan ekoran kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Timbalan Presiden Amanah, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lalu.

Sepatutnya PN tidak meletakkan calon dalam PRK ini sebagai menghormati Salahuddin, dan ini pernah dibuat oleh Umno yang tidak meletakkan calon dalam PRK DUN N06 Chempaka, Kelantan, pada 22 Mac 2015 sebagai menghormati Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada 12 Februari 2015.

Sejak dari awal lagi sudah diketahui bahawa agak mustahil untuk calon-calon PN menang di P161 Pulai dan di N13 Simpang Jeram kerana kedua-dua kerusi ini merupakan kubu kuat PH.

Walaupun begitu, disebabkan PN nekad mahu mengembangkan gelombang hijaunya ke negeri Johor dengan harapan kemenangan dalam PRK ini akan menghidupkan agenda menukar kerajaannya atau sekurang-kurangnya menafikan majoriti 2/3 PH-BN di parlimen maka PN menyertainya dengan bersungguh-sungguh berkempen untuk menang.

Bagaimanapun, PN tetap kalah dan gelombang hijaunya gagal menembusi negeri Johor.

Malah jumlah undi dan majoriti undi yang diperolehi oleh PH di N13 Simpang Jeram, iaitu 13,844 undi dan 3,514 undi, jauh lebih tinggi berbanding yang diperolehi oleh PH dalam PRN Johor pada 12 Mac 2022, iaitu 8,749 undi dan 2,399 undi.

Ini menunjukkan berlaku perpindahan undi yang besar dari BN ke PH sekali gus menjadi bukti penerimaan pengundi terhadap PH-BN.

Mengadakan sesuatu PRK menelan belanja yang banyak. Dana awam yang perlu dikeluarkan sudah mencecah jutaan.

Mengikut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, kos untuk mengadakan PRK P161 Pulai dianggarkan sebanyak kira-kira RM4.5 juta manakala kos untuk mengadakan PRK N13 Simpang Jeram pula dianggarkan sebanyak kira-kira RM1.5 juta.

Ini belum dikira lagi dana-dana lain yang terpaksa dikeluarkan oleh berbagai pihak lain lagi ke atasnya.

PRK DUN Pelangai

PRK juga mengganggu urusan kerajaan. Pemimpin dan pegawai kerajaan tidak dapat fokus mentadbir negara dan negeri kerana terpaksa berkempen dalam usaha untuk cuba memenangkan parti masing-masing.

Banyak pihak, termasuk pelabur, penganalisis dan rakyat marhaen, juga terkesan dengan PRK begini kerana apa-apa keputusannya boleh menjejaskan kestabilan politik. Ini belum dikira dengan sentimen yang memuncak sewaktu kempen yang meresahkan sehingga menyebabkan banyak pertelingkahan berlaku.

Belum lagi reda dengan bahang PRK, pada 23 September hingga 3 Oktober depan akan ada pula satu lagi PRK N36 Pelangai yang, mengikut SPR, memerlukan peruntukan sebanyak RM2.1 juta.

Ia terpaksa diadakan ekoran kematian Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dari Umno pada 17 Ogos lalu.

Walhal secara logik keputusan PRK N36 Pelangai sudah boleh diketahui dari awal kerana dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15), Johari yang merupakan exco kerajaan tempatan, perumahan, alam sekitar dan Tteknologi hijau Pahang, menang dengan majoriti besar sebanyak 4,048 undi bila beliau memperolehi 7,308 undi berbanding 3,260 undi calon PAS dan 2,031 undi calon Amanah.

Malah, jika diteliti rekod-rekod lalu, perkara yang sama berlaku sebelum ini. Antara PRU14 pada 9 Mei 2018 dan PRU15 pada 19 November 2022 sahaja terdapat dua PRK Parlimen dan enam PRK DUN yang terpaksa dilangsungkan ekoran kematian penyandangnya.

Daripada lapan PRK ini hanya dua PRK sahaja yang menghasilkan perubahan keputusan tatkala suasana politik memang amat berubah.

Pertama, adalah PRK DUN N24 Semenyih, Selangor, dilangsungkan pada 2 Mac 2019 ekoran kematian Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu pada 11 Januari 2019 menyaksikan berlaku perubahan dengan Zakaria Haji Hanafi daripada Umno (gambar, atas) menang dengan majoriti 1,914 undi.

Kedua, adalah PRK Parlimen P65 Tanjung Piai, Johor, pada 16 November 2019 ekoran kematian Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik daripada Bersatu pada 21 September 2019 yang menyaksikan Datuk Wee Jeck Seng dari MCA menang dengan majoriti 11,521 undi.

Begitu juga antara PRU13 pada 10 April 2013 dan PRU14 pada 9 Mei 2018 terdapat lima PRK parlimen dan lima PRK DUN yang terpaksa dilangsungkan ekoran kematian penyandangnya dengan hanya satu PRK sahaja yang menghasilkan perubahan, iaitu PRK Parlimen P076 Telok Intan, Perak, pada 31 Mei 2014 ekoran kematian Seah Leong Peng dari DAP pada 1 Mei 2014 yang menyaksikan Datuk Mah Siew Keong daripada Gerakan menang dengan majoriti 238 undi.

Untuk itu, demi kepentingan kestabilan negara dan penjimatan kos maka mungkin sudah tiba masanya untuk undang-undang negara dipinda bagi mengelakkan perlunya PRK terus terpaksa diadakan ekoran kematian penyandangnya.

Syarat sihat tubuh

Salah satu cara yang boleh digunakan ialah mengadakan peruntukan baru yang menyatakan kekosongan jawatan dalam bentuk begini hendaklah diisi oleh mana-mana calon yang dikemukakan namanya oleh parti yang diwakili oleh penyandang yang meninggal dunia tanpa memerlukan PRK diadakan sekali gus menjimatkan dana, masa dan tenaga.

Selain itu, undang-undang juga perlu diperketatkan bagi memasukkan syarat ‘sihat tubuh badan’, yang memerlukan laporan dan pembuktian terperinci, ke dalam kelayakan seorang calon yang bertanding dalam pilihan raya demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Tegasnya, satu langkah konkrit perlu segera diambil bagi mengelakkan negara terpaksa berhadapan dengan politiking berterusan yang tidak memberikan manfaat malah merugikan dana dan boleh menjejaskan kestabilan negara ekoran PRK yang tidak perlu ini.


SUMMUGAM RENGASAMY ialah pelajar ijazah doktor falsafah jurusan sains politik di Universiti Utara Malaysia (UUM); bekas Adun Bukit Selambau; bekas exco Kerajaan Kedah dan bekas timbalan setiausaha agung PKR.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.