JAS: Laporan kesan alam sekitar kini boleh dimuat turun
Putrajaya kini membenarkan orang ramai memuat turun salinan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Sejak 4 Sept lalu, laporan EIA boleh dimuat turun dari laman web JAS.
Sebelum ini, dokumen yang banyak ini hanya boleh dibaca melalui pelayar web atau di pejabat JAS negeri, perpustakaan awam dan pejabat pihak berkuasa tempatan yang berkaitan sahaja.
JAS meletakkan syarat perancang projek perkara yang diterangkan dalam Jadual Kedua Perintah Kualiti Alam Sekitar (Aktiviti Ditetapkan) (Penilaian Kesan Alam Sekitar) 2015 untuk memaparkan laporan EIA selama 30 hari.
Laporan EIA merupakan dokumen penting yang boleh menentukan nasib projek di kawasan sensitif alam sekitar.
Selain itu, orang ramai diberi masa 45 hari, bermula dari tarikh paparan, untuk memberikan maklum balas.
Berikutan itu, jawatankuasa teknikal Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan menilai laporan EIA serta maklum balas orang ramai.
Baru-baru ini, NRECC mengambil maklum dapatan EIA bahawa projek lapangan terbang baru di pulau Tioman sebagai berbahaya kepada alam sekitar.
Menteri mahu EIA telus
Selepas itu, kabinet memutuskan untuk menghentikan projek berkenaan.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad memberitahu Malaysiakini dia memutuskan untuk menjadikan EIA boleh dimuat turun kerana Putrajaya mahu mendapatkan sebanyak mungkin pendapat dan input daripada orang ramai.
Dalam kes EIA untuk lapangan terbang Tioman, 1,412 maklum balas daripada orang atau entiti telah diterima oleh JAS.
“Saya menggalakkan orang ramai merujuk laporan EIA untuk mengumpul maklumat berhubung cadangan projek pembangunan.
“Kami akan terus membuat laporan EIA tersedia dalam talian di laman web JAS dan platform media sosial untuk akses mudah kepada orang ramai dari mana-mana lokasi.
"Kami juga sedang mencari untuk meningkatkan lagi perkara ini, dengan menyemak dasar dan prosedur kami untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi," katanya kepada Malaysiakini melalui balasan e-mel.
Sementara itu, Adam Farhan, pengarah NGO pemerhati alam sekitar Rimbawatch, mengalu-alukan dasar baru Putrajaya tetapi menegaskan lebih banyak pelarasan dasar diperlukan untuk mencapai ketelusan yang lebih tinggi.
Adam berkata hanya laporan EIA untuk aktiviti di bawah Jadual Kedua perlu dipaparkan dalam talian.
Bagaimanapun, jelasnya sebahagian besar laporan EIA berada di bawah Jadual Pertama.
"Oleh itu, orang ramai masih tidak mempunyai akses kepada laporan EIA ini," katanya menjelaskan ketelusan yang lebih tinggi untuk EIA Jadual Kedua adalah sesuatu yang munasabah untuk dilaksanakan.
Pada masa lalu, terdapat insiden syarikat pembalakan memohon berbilang permit pembalakan yang melibatkan kawasan kurang dari 500 hektar, yang meletakkan projek mereka di bawah Jadual Pertama dan dengan itu tidak mempunyai kewajipan untuk membuat laporan EIA mereka tertakluk kepada penelitian awam.
Senarai penuh aktiviti di bawah Jadual Pertama dan Kedua diterangkan pada pautan di sini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai