Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis sudah dimaklumkan penahanan lelaki di Norway

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dimaklumkan oleh pasukan keselamatan Norway berhubung penahanan seorang lelaki dipercayai rakyat Malaysia di Oslo, Norway kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengintipan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata PDRM akan meneliti setiap maklumat diterima dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membantu pasukan keselamatan negara itu menjalankan siasatan.

"Saya telah diberi taklimat oleh Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) tengah hari semalam berkenaan latar belakang kes itu, tapi kami masih lagi menunggu maklumat lengkap

"Maksudnya pasukan keselamatan Norway telah memaklumkan pasukan keselamatan kita status individu berkenaan, latar belakang dan segala bukti-bukti yang mereka pilih untuk berkongsi dengan kita," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia 2023, di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata PDRM akan menggunakan kaedah yang bersesuaian dalam membantu siasatan kes itu bagi menjaga hubungan antara Malaysia dan Norway.

"Kami telah terima pemakluman, PDRM sedang jalankan penelitian, tentu kita akan gunakan seluruh kaedah sesuai dengan hubungan kedua negara ini.

"Ia sensitif dari sudut amalan pengintipan, polis masih lagi meneliti," katanya.

Rabu lepas, Kementerian Luar menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm mengesahkan seorang lelaki dipercayai warganegara Malaysia telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengintipan di Norway.

Agensi media antarabangsa melaporkan seorang pelajar Malaysia berusia 25 tahun di Norway ditahan pihak berkuasa tempatan kerana didakwa mengintip termasuk mencuri dengar secara haram menerusi pelbagai peranti teknikal.

Menurut laporan itu, agensi perisikan polis Norway dikenali sebagai PST mendakwa lelaki berkenaan cuba mengintip pejabat perdana menteri, Kementerian Pertahanan dan pejabat kerajaan lain di Oslo.

PST memberitahu Norwegian Broadcasting (NRK) bahawa lelaki itu yang ditahan Jumaat lepas sudah didakwa di mahkamah berikutan tindakannya melakukan operasi pengintipan dan risikan terhadap negara berkenaan.

- Bernama