Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis tak larang mana-mana individu masuk ke KL berhimpun Sabtu ini

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Menjelang perhimpunan anjuran PN yang dirancang di Kuala Lumpur pada hari Sabtu, polis berkata tiada halangan terhadap mana-mana individu yang dikaitkan dengan perhimpunan itu daripada memasuki pusat bandar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata polis tidak akan sampai ke tahap mendapatkan perintah mahkamah yang melarang individu yang dinamakan daripada menghadiri perhimpunan Hari Malaysia.

"Kami tidak akan sampai ke tahap itu. Kami tidak mahu bertindak keterlaluan. Kami akan kami akan membuat persediaan…

"Seperti aspirasi kerajaan...selagi ketenteraman awam tak terjejas," katanya ketika ditanya mengenai perkara itu.

“Kami akan mengambil tindakan undang-undang yang perlu di bawah undang-undang (Akta Perhimpunan Aman 2012).

“Ini (undang-undang) adalah sesuatu yang penganjur sedia maklum.

"Mereka tahu implikasi undang-undang. Ini (perhimpunan) bukan kali pertama," katanya pada sidang media di balai polis Dang Wangi malam ini.

Shuhaily juga berkata beberapa penganjur telah memaklumkan kepada polis mengenai perhimpunan yang dirancang pada Sabtu ini.

Gambar fail, pimpinan Pemuda PN.

Bagaimanapun, katanya tiada satu pun notis itu mematuhi syarat di bawah PAA, contohnya untuk mengesahkan lokasi perhimpunan mereka dan mendapatkan kebenaran daripada pemilik premis tempat perhimpunan mereka akan diadakan.

Jelasnya, perkara berkenaan telah menyukarkan tugas polis.

“Saya amat berharap penganjur (perhimpunan) dapat lebih bertanggungjawab membantu kami menyelaraskan tugas kami,” katanya.

Awal hari ini, sekretariat Gerakan Selamatkan Malaysia yang dikaitkan dengan PN mengumumkan lokasi baru di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Ini lokasi ketiga yang diumumkan selepas pengumuman awal Sabtu lalu, bahawa ia akan diadakan sekitar pusat beli-belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Bukit Bintang.

Pada mulanya, penganjur berkata perhimpunan itu akan berlangsung di luar pusat beli-belah Sogo.

Sabtu lalu, Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari berkata sayap Pemuda PN akan menganjurkan perhimpunan di Kuala Lumpur pada Hari Malaysia, 16 September ini sebagai protes terhadap kes Zahid.

Dia mengumumkan himpunan itu akan diadakan di depan Sogo bertemakan pakaian putih dan membawa bendera Malaysia.

Bagaimanapun, kelmarin, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selepas memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, berkata mereka akan berkumpul di Bukit Bintang.

Ahmad Fadhli pada Selasa pula berkata PN terbuka untuk memindahkan perhimpunan ke jalan di hadapan Yayasan Selangor di Bukit Bintang jika tempat asal di hadapan Sogo tidak sesuai.