Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno buat program tertutup jelaskan isu DNAA Zahid

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Ketika Umno terus diserang bertubi-tubi ekoran mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid Hamidi, parti itu hari ini mengadakan sesi penerangan mengenai isu tersebut bersama pimpinan akar umbi.

Menurut Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, ia merupakan amalan biasa yang dilakukan parti terbabit apabila terdapat isu-isu besar yang melibatkan mereka.

“Inti patinya ialah sebab ada ahli Umno memang tak memahami tentang kes-kes yang melibatkan presiden,” katanya kepada pemberita selepas selesai sesi penerangan itu, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Sesi penerangan secara tertutup yang berlangsung selama kira-kira tiga jam itu bermula 10 pagi itu dihadiri ketua bahagian dan ketua penerangan dari semua peringkat 151 bahagian Umno seluruh negara.

“Isu-isu ini perlu dijawab kerana kita akan berhadapan dengan beberapa siri pilihan raya lagi,” katanya.

Asyraf Wajdi menjelaskan sebelum ini ada banyak perkara tidak dapat dijelaskan secara terbuka oleh peguam kes Ahmad Zahid kerana ia boleh dianggap sebagai mencampuri urusan mahkamah.

Pada 4 Sept lalu pendakwa raya menghentikan prosiding pendakwaan ke atas Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Tindakan Jabatan Peguam Negara itu meletakkan hakim tidak mempunyai pilihan kecuali memberikan DNAA terhadap timbalan perdana menteri berkenaan.

Pengkritik menuduh terdapat campur tangan kerajaan dalam tindakan tersebut, manakala pembangkang menjadikan ia sebagai antara isu utama untuk menyerang Putrajaya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sudah menafikan dia campur tangan dalam keputusan tersebut.

Asyraf Wajdi turut diminta mengulas jika sesi penerangan hari ini diadakan kerana Umno bimbang dengan pengaruh yang dibawa PN melalui media sosial.

Dia bagaimanapun menafikan malah yakin Umno tidak terjejas berdasarkan akepada kemenangan calon kerajaan perpaduan - hasil kerjasama BN dan PH - di Pulai serta Simpang Jeram baru-baru ini.

“Tengoklah jumlah majoriti yang diperoleh lebih besar. Maknanya, Umno belajar daripada apa kekalahan yang lepas, parti tak boleh take for granted (ambil mudah)," katanya.

Dalam sesi penerangan itu, kata Asyraf Wajdi, pemimpin parti turut menjelaskan serta menangkis dakwaan pembangkang kononnya Malaysia menuju negara sekular selepas pembentukan kerajaan perpaduan.

“Isu kita yang bersama dalam kerajaan perpaduan yang di dalamnya ada 19 parti politik, tapi dimainkan oleh pembangkang seolah-olah ini adalah kerajaan Umno-DAP.

“Tapi benda-benda tu Umno tak terangkan dan tak jelaskan (sebelum ini).

“Jadi mainan persepsi dan mainan fitnah yang dimainkan oleh pembangkang ini mesti dijawab dan mesti ditangani secara berfakta tanpa kita memainkan sentimen murahan seperti mereka,” katanya.