Skip to main
Logo Malaysiakini

Prosedur ISO JPN punca ribuan orang tiada kerakyatan - Senator

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Syarat Jabatan Pendaftaran Negara yang memerlukan MyKad untuk mendaftar perkahwinan merupakan prosedur cacat yang telah diamalkan selama 40 tahun hingga menyebabkan lebih 10,000 bayi tidak mempunyai kewarganegaraan.

Prosedur Kualiti MS ISO 9001:2015 JPN merupakan prosedur piawaiannya yang memerlukan pasangan mengemukakan dokumen pengenalan seperti MyKad, MyPR, MyKAS atau pasport mereka untuk mendaftarkan perkahwinan mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswathy Kandasami (gambar, bawah) berkata keperluan prosedur yang cacat itu telah diperbetulkan apabila JPN mengeluarkan pekeliling untuk menghentikan keperluan ketat itu pada 2021.

“Pasangan kini boleh menggunakan sijil kelahiran atau sijil anak angkat mereka untuk mendaftarkan perkahwinan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Sarawathy berkata masalah generasi tanpa kerakyatan yang timbul daripada syarat prosedur cacat oleh jabatan pendaftaran itu perlu ditangani.

Bercakap pada forum awam anjuran Badan Peguam Malaysia bertajuk "Rakyat Malaysia tanpa IC dan Tanpa Kewarganegaraan", Saraswathy berkata jabatan itu menyedari kesilapannya 40 tahun kemudian.

Saraswathy dan ahli panel lain di forum itu berkongsi pengalaman mereka dalam isu nasib orang tanpa kerakyatan di Malaysia.

Selain Saraswathy, forum itu turut menampilkan Pengarah Perlindungan Sosial Pembangunan Sumber Manusia di Kawasan Luar Bandar (DHRRA), Maalini Ramalo, Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam Larissa Ann Louis dan Pengarah Lawyer Kamek for Change Simon Siah.

Bukan silap tapi zalim

Ketua Pengarah JPN Ruslin Jusoh menjelaskan dalam pekelilingnya pada 2021 bahawa mengikut Akta Perkahwinan dan Perceraian 1976 (Akta 164), MyKad bukanlah kewajipan yang dikenakan untuk mendaftarkan perkahwinan.

Kata Saraswathy, keperluan prosedur untuk mematuhi piawaian ISO itu telah merosakkan kehidupan beribu-ribu kanak-kanak.

“Ini bukan hanya kesilapan. Ini satu kezaliman,” katanya.

Senator itu berkata cucu kepada generasi pertama yang dinafikan kewarganegaraan mereka akibat prosedur ini, berdepan cabaran terbesar.

"Walaupun dia berkahwin dengan warganegara Malaysia, anaknya tidak akan pernah mendapat kewarganegaraan," jelas Saraswathy.

Menurutnya, Akta 164 berkuat kuasa pada 1982, dan jika jabatan membenarkan pasangan mendaftarkan perkahwinan mereka menggunakan sijil kelahiran maka ribuan kanak-kanak akan menjadi warganegara Malaysia.

Terdapat kemahuan politik yang kuat untuk membetulkan kesilapan itu, kata Saraswathy menjelaskan dedikasinya untuk mencapai matlamat itu.

Pada Ogos, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata terdapat lebih 140,000 permohonan kerakyatan diterima kementeriannya, dengan 9,000 daripadanya telah diproses termasuk permohonan yang telah diluluskan.

Kementerian Dalam Negeri telah menetapkan sasaran untuk meluluskan sekurang-kurangnya 10,000 permohonan tahun ini.

[Baca berita asal]