Skip to main
Logo Malaysiakini

Ismail persoal inisiatif baru dalam RMK12, tambahan peruntukan RM15b

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob menyuarakan kebimbangan berhubung inisiatif baru dalam Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang diumumkan penggantinya, Anwar Ibrahim.

Ismail yang membentangkan RMK12 dengan peruntukan berjumlah RM400 bilion dua tahun lalu berkata, dia mengalu-alukan rancangan kerajaan untuk menaikkan siling peruntukan sebanyak RM15 bilion tetapi mempersoalkan sumber dana untuk tujuan itu.

"Bagaimanapun, tidak dijelaskan dengan terperinci bagaimanakah siling peruntukan tambahan sebanyak RM15 bilion ini diperoleh.

"Selain itu, kerajaan hari ini juga menetapkan defisit fiskal sebanyak 3.5 peratus meskipun telah menaikkan had siling RMK12. Apakah ini bermaksud kerajaan tidak akan berhutang?" katanya dalam komentar di Utusan Malaysia hari ini.

Ismail juga bertanya jika kerajaan merancang untuk memperkenalkan cukai baru atau mengembalikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk menambah hasil negara.

Selain itu, dia membangkitkan keraguan terhadap rancangan menghapuskan kemiskinan tegar menjelang akhir tahun ini, dengan berkata sasaran asal iaitu pada 2025 adalah lebih realistik.

"Sekarang berbaki tiga bulan daripada sasaran untuk menoktahkan miskin tegar pada penghujung tahun ini.

"Kita ingin tahu, apakah program yang dilaksanakan untuk memastikan 114,000 keluarga dikeluarkan daripada senarai miskin tegar? Sehingga kini, daripada 114,000 keluarga itu, berapakah jumlah yang telah keluarkan daripada senarai miskin tegar?"

Dia berkata usaha menghapuskan kemiskinan tegar memerlukan pembangunan seimbang di antara wilayah di Malaysia.

"Oleh kerana itu, RMK12 telah memperuntukkan sebanyak 50 peratus daripada siling peruntukan kepada enam negeri iaitu Sarawak, Sabah, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

"Namun, perkara ini tidak disentuh secara mendalam ketika pembentangan KSP. Apakah peruntukan sebanyak 50 peratus ini akan diteruskan untuk negeri-negeri ini?" soalnya lagi.

Ahli parlimen Bera itu menggesa kerajaan menimbang untuk mengurangkan permit import bahan makanan yang menurutnya akan membawa kepada monopoli yang akan menyebabkan kenaikan harga barang.

"Dalam keadaan mencabar ini, kita memerlukan langkah jangka pendek bagi memastikan harga bahan makanan khususnya beras tidak naik dengan mendadak," katanya lagi.