Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari M'sia: Lebih 10,000 sertai kemeriahan Keretapi Sarong

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Lebih 10,000 peserta pelbagai kaum dan usia menyertai program Keretapi Sarong 2023 (KS 2023) yang bertujuan menyemai semangat cintakan negara, walaupun dalam kepelbagaian sempena sambutan Hari Malaysia, hari ini.

Tanpa segan silu, semuanya begitu berbangga mengenakan pakaian tradisional lengkap dengan perhiasan pelbagai etnik seterusnya mempromosi kain sarung sama ada batik atau pelekat yang menjadi simbol kebudayaan serta warisan di Malaysia.

Bagaikan mengimbau kenangan lama, KS 2023 yang membawakan tema 'Etnik dan Perpaduan' turut dimeriahkan dengan persembahan busana sarung, persembahan 'flash mob', tarian joget lambak serta alunan runut awal 60-70an.

Pengarah program KS2023 Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata program tersebut berjaya mencapai objektif utamanya iaitu melihat rakyat Malaysia berbusana etnik dengan menaiki pengangkutan awam sambil mempromosi kain sarung.



"Saya sendiri turut memakai pakaian tradisi kaum Bidayuh sebagai tanda sokongan kepada program dan kita juga lihat ramai kawan-kawan lain daripada pelbagai kaum menyertai KS2023," katanya kepada Bernama, di Kuala Lumpur, hari ini.

Program Keretapi Sarong dimulakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Random Alphabet pada 2012 sebelum diambil alih Locco pada 2017, membabitkan ribuan peserta menaiki pengangkutan awam dengan memakai kain sarung sama ada batik atau pelekat sebagai seragam utama.

Pada tahun ini, program KS2023 dimulakan serentak dari tujuh stesen iaitu Transit Aliran Ringan (LRT) KL Sentral, LRT Gombak, LRT Ampang, LRT Subang Jaya, Transit Aliran Massa (MRT) Kajang, MRT Bandar Utama dan KLIA Transit sebelum bergerak dan berkumpul di Dataran Merdeka.

Acara sama turut berlangsung serentak di bandar utama seperti Johor Bahru (sepanjang Sungai Segget), Ipoh (KTMB Ipoh) dan Kuala Terengganu (Kampung Budaya Terengganu), serta di London, United Kingdom (Battersea Power Station).

Memeriahkan lagi suasana, pelbagai nyanyian lagu patriotik dan tradisional turut dimainkan antaranya 'Negaraku', 'Jalur Gemilang', 'Gemuruh', 'Standing In The Eyes Of The World', Rasa Sayang', 'Dikir Puteri', Enjit Enjit Semut', 'Lemak Manis', 'Can Mali Can' dan 'Anak Tupai'.

Peserta KS2023, Izat Izhar, 28, yang mengenakan pakaian tradisional daripada etnik Kadazan Dusun berpendapat program itu bukan sahaja berjaya menyemai semangat patriotik tetapi secara tidak langsung turut memperkenalkan pelbagai etnik di Malaysia melalui pakaian.

"Walaupun baru pertama kali turut serta, saya akui sangat teruja. Mereka berkumpul, berarak dan menyanyi bersama-sama tetapi juga berpeluang mengetengah semula pemakaian busana tradisi, ia buatkan suasana lebih ceria," katanya yang sanggup memandu dari Kuantan, Pahang ke Kajang semata-mata untuk menyertai KS 2023.

Bagi Alpasusanti Ismail, 43, dari Bangi, Selangor pula menyifatkan program tersebut sebagai simbolik perpaduan di antara kaum di negara ini sementelah ia disambut sempena Hari Malaysia 2023.

"Saya datang sendirian ke acara ini. Tapi apabila tiba, saya tak rasa sendiri lagi, semua orang sangat ramah dah macam jumpa kawan-kawan lama pula.

"Memang sangat seronok, jika berkesempatan lagi, saya akan turut serta lagi tahun depan," katanya.

Di Perak, seramai 500 peserta dari Perak, Kedah dan Pulau Pinang menyertai KS2023 yang diadakan di perkarangan Stesen Keretapi Ipoh di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dengan berbusana tradisional Melayu seperti kain sarung, baju kurung, kebaya, baju pahlawan serta baju Melayu.

Pengasas Ipoh Social Club Deena Erissa Delaila Mohd Zawawi, 26, berkata program dianjurkan dengan kerjasama Locco itu mengadakan pelbagai aktiviti antaranya joget lambak dan cabutan bertuah.

Peserta KS2023 Amanda Cheah Wei Hua, 30, yang bekerja sebagai guru sekolah menengah di sini berkata beliau berminat menyertai program itu yang sangat unik dan dapat membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.



Di Johor Bahru, seramai 600 peserta KS2023 ‘membanjiri’ sepanjang satu kilometer laluan pejalan kaki Sungai Segget di bandar raya ini sempena sambutan Hari Malaysia 2023.

Peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum, berarak sambil menyanyikan lagu patriotik dan klasik, diringi persembahan tarian yang bermula dari Sungai Segget hingga ke pusat beli-belah Komtar JBCC.

Ketua Pembangunan Sosial Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Raja Taufik Azad Ahmad Suhaimi berkata KS2023 di Johor dianjurkan oleh Iskandar Youth Hub Sdn Bhd, yang disertai segenap lapisan masyarakat di Johor antaranya pelajar sekolah, Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan NGO.

“Acara KS2023 adalah kali pertama diadakan di Johor bersempena sambutan Hari Malaysia dan penyertaan amat memberangsangkan. Kita tidak menolak kemungkinan untuk melaksanakannya lagi tahun depan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di Kuala Lumpur hari ini.

Di Kuala Terengganu, seramai 3,000 pengunjung membanjiri Kampung Budaya Terengganu untuk menghadiri program Musing Ketang sempena program KS2023.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Sulaiman Sulong berkata pelbagai aktiviti dijalankan bagi memeriahkan program selama tiga hari sempena sambutan Hari Malaysia.

Beliau berkata antara aktiviti diadakan adalah demonstrasi pembuatan tikar kercut, ukiran tembaga, replika bot tradisional, wau dan lukisan batik yang menjadi identiti masyarakat Terengganu.

"Kita mengambil peluang program KS2023 sempena sambutan Hari Malaysia untuk memperkenalkan tradisi dan budaya orang Terengganu kepada pelancong, sekali gus dapat membawa kembali kegemilangan, kebudayaan dan warisan seperti seni bina, masakan tradisional dan sebagainya," katanya pada program Musing Ketang@Keretapi Sarong hari ini.

- Bernama