PM: Usaha kolektif Asean, China perlu fokus kemakmuran, keamanan serantau
Usaha kolektif Asean dan China mesti memberi tumpuan kepada keamanan serantau, kestabilan, kemakmuran, dan memupuk hubungan perdagangan dua hala dan pelbagai hala, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini perlu dalam menghadapi cabaran pascawabak, ketegangan geopolitik, dan pelbagai faktor ketidakstabilan lain,” kata Anwar, yang juga menteri kewangan.
Dia berkata Asean akan kekal sebagai salah satu wilayah yang paling pesat berkembang pada 2023, dan adalah penting bagi Asean dan China untuk mempelbagaikan strategi perdagangan dan pelaburan mereka semasa dunia semakin maju.
“Walaupun menghadapi cabaran ekonomi global, Asean kekal sebagai destinasi menarik bagi pelaburan antarabangsa, mencatat pertumbuhan ekonomi 5.5 peratus pada 2022, dengan 4.6 peratus (pertumbuhan) diunjurkan untuk 2023.
“Trajektori ini meletakkan Asean jauh di atas purata global, sebagaimana yang diunjurkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 3.5 peratus untuk 2022, dan tiga peratus bagi 2023 dan 2024,” katanya dalam ucapan perasmiannya Ekspo China-Asean ke-20 (CAEXPO) 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-Asean(Cabis) di Nanning, China hari ini.
Di awal ucapannya perdana menteri sempat menyampaikan ucap selamat kepada para hadirin dengan menggunakan bahasa Cina dengan kata-kata berbunyi ‘ge wei lai bin da jia hao’.
Anwar turut menggesa Asean dan China mempergiatkan kerjasama dalam ekonomi digital bagi memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) untuk berkembang maju dalam era digital ini.
Dia berkata PKS menyumbang 85 peratus kepada peluang pekerjaan, 44.8 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan 18 peratus kepada eksport negara dalam negara-negara ASEAN.
“Oleh itu, peranan mereka dalam menyumbang kepada aktiviti nilai tambah, inovasi dan pertumbuhan inklusif tidak boleh diperkecilkan,” katanya.
Merujuk kepada Rangka Kerja Pemulihan Ekonomi Asean, dia berkata rangka kerja itu menggariskan kepentingan ketersambungan rantaian bekalan tanpa gangguan, di samping memudahkan penyaluran barangan serta perkhidmatan penting dengan menghapuskan halangan perdagangan.
“Dengan infrastruktur yang mantap, saya yakin aktiviti perdagangan yang berterusan akan menjadi lancar, sekali gus menyumbang kepada pemulihan ekonomi serantau,” katanya.
Mengenai inisiatif Jalur dan Laluan China (BRI), Anwar berkata Malaysia sebagai penyokong awal, membayangkan inisiatif ini boleh menjadi pintu masuk kepada suatu ketersambungan baru, dan peluang pertumbuhan merentasi Asia Tenggara, Asia Pasifik, Afrika, serta Eropah Tengah dan Timur.
Dengan merujuk kepada Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan China-Malaysia Qinzhou Industrial Park (CMQIP) yang dibangunkan di bawah konsep "Dua Negara, Taman Berkembar", perdana menteri berkata taman-taman itu adalah contoh projek-projek BRI yang boleh dibangunkan.
“Kami amat menghargai sokongan tidak berbelah bahagi China, terutamanya dalam memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada kemakmuran bersama,” katanya.
Mengenai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), dia berkata ia adalah bukti komitmen Asean dan China terhadap integrasi ekonomi, memastikan daya tahan rantaian bekalan dan keterbukaan pasaran dalam menghadapi cabaran global.
Menyentuh mengenai CAEXPO, Anwar berkata sepanjang 19 edisi CAEXPO yang lepas, syarikat Malaysia telah mencapai hasil yang membanggakan di pasaran China dan Asean.
Dia optimis CAEXPO akan terus berfungsi sebagai pemangkin untuk perniagaan Malaysia, memupuk kerjasama perdagangan, dan merangsang pemulihan ekonomi, kerana menurutnya platform ini bukan sahaja bertindak sebagai satu cara untuk melebarkan rangkaian perniagaan, tetapi juga sebagai hab untuk kerjasama inovatif dan usaha niaga keusahawanan.
“Dalam melihat kepada masa depan, Malaysia yakin bahawa hubungan perdagangan dan ekonomi dengan China hanya akan bertambah kukuh melalui pelbagai inisiatif strategik.
“Semasa kita melangkah untuk memulakan kerjasama yang dipertingkatkan ini, marilah kita merebut peluang perniagaan yang luas di CAEXPO 2023 untuk meneroka dan memupuk hubungan baharu serta mempercepatkan kemajuan secara menyeluruh,” katanya.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Timbalan Menteri Luar Negeri Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai