Lewat dapat rawatan HIV, kanak-kanak tanpa kerakyatan maut
Andy nampak pucat, kurus dan sukar bergerak semasa ditemui Malaysiakini di rumahnya di Lahad Datu, Sabah.
Keadaannya yang lemah ini merupakan bayangan pergelutan birokirasi yang dihadapi sepanjang hidupnya untuk mendapatkan rawatan bagi jangkitan HIV.
Dijangkiti secara perinatal daripada ibunya, Andy (bukan nama sebenar) kelihatan gembira ketika berjumpa tetamu dan menikmati gula-gula yang dibelikan untuknya.
Kanak-kanak berusia sembilan tahun ini tidak pernah bersekolah tapi itu bukanlah kebimbangan utama bagi keluarganya.
Ketika Malaysiakini bertemu Andy, dia belum sembuh sepenuhnya daripada jangkitan kuman yang hampir meragut nyawanya tahun lalu. Dia dirawat di Hospital Lahad Datu dan keluarganya berhutang sebanyak RM40,000 dengan pihak hospital.
Lambat dalam mendapatkan rawatan HIV akan mengakibatkan sistem imun semakin lemah dan membawa kepada penyakit AIDS.
Namun, memandangkan Andy tiada kerakyatan, Hospital Lahad Datu - hospital yang paling dekat dengan tempat tinggalnya - mengenakan caj “bukan rakyat” untuk ubatan dan rawatan yang diperlukannya bagi mengawal jangkitan HIV.
Keluarganya tidak berkemampuan, maka untuk sekian lama Andy tidak dapat mengambil ubatan yang boleh menyelamatkan nyawanya, sehinggalah dia hampir maut pada tahun lalu.
Ketika itu, dia dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, terletak 400 km dari rumahnya. Hospital tersebut telah merawatnya dan memberi jaminan untuk memberi rawatan dan ubatan percuma selama setahun.
Tapi rawatan dan ubatan ini diberikan melalui Hospital Lahad Datu. Untuk mendapatkannya, dia masih perlu membayar caj pendaftaran tinggi, seperti yang dikenakan kepada bukan warganegara.
Andy dijaga sepenuh masa oleh neneknya. Wanita tersebut telah menggadai barang kemas, meminta sedekah dan meminjam wang dari pelbagai pihak untuk membiayai rawatan cucunya.
Pada 12 April lalu, beberapa bulan selepas pertemuan dengan Malaysiakini, Andy meninggal dunia.
“Saya sudah tiada apa untuk dijual atau digadai,” kata neneknya yang teresak-esak.
Walaupun Andy dilahirkan di Malaysia dan bapanya juga warga Malaysia, dia meninggal dunia bukan sebagai warganegara.
Kesukaran yang dihadapi Andy untuk mendapatkan rawatan sebagai seorang yang tiada kerakyatan menunjukkan masalah birokrasi dalam jabatan pendaftaran negara di Sabah.
Ironinya, jabatan ini mempunyai reputasi mengubah demografi negeri tersebut dengan memberi kerakyatan kepada ribuan imigran untuk menjatuhkan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang mentadbir negeri pada 1985.
Lazimnya, nenek Andy yang sudah berusia itu perlu berusaha sedaya upaya hanya untuk membayar RM120 caj pendaftaran supaya cucunya boleh diperiksa doktor. Caj pendaftaran untuk warganegara Malaysia hanya RM5.
BACA: Bayi dirampas: Bagaimana ibu tiada kerakyatan 'hilang' anak di hospital Sabah
Setiap kali mereka ke hospital, Unit Hasil Hospital Lahad Datu akan bertegas agar mereka membayar ansuran hutang sebanyak RM40,000 untuk rawatan sebelumnya.
“Saya perlukan RM200 setiap dua minggu. Bayaran pendaftaran untuk pesakit luar ialah RM120 dan RM50 untuk bayaran ansuran untuk hutang sebelumnya.
“Saya juga perlu RM30 untuk tambang teksi kerana tiada pengangkutan awam lain dari rumah kami ke hospital, dan selebihnya duit makan,” kata nenek Andy yang tidak mahu dinamakan kerana jiran-jiran mereka tidak tahu Andy dan ibunya menghidap HIV/AIDS.
Walaupun wanita itu sentiasa berusaha membayar ansuran hutangnya, ada kala dia masih gagal mendapatkan rawatan untuk cucunya. Ini kerana ada kala Unit Hasil meminta lebih daripada RM50 untuk ansuran hutang.
“Kali pertama mereka minta saya bayar lebih untuk langsaikan hutang, saya pinjam duit dari keluarga dan gadai cincin emas saya.
“Kali kedua ini terjadi, saya hanya mampu menangis kerana saya tiada sesiapa lagi yang dapat membantu. Ketika itu, pihak hospital berkeras tidak benarkan cucu saya berjumpa doktor jika saya tidak bayar ansuran RM500, bukan RM50 seperti biasa.
“Kami tetap menunggu, sehingga malam. Akhirnya, ada doktor yang gunakan budi bicara dan tidak kenakan caj pendaftaran untuk periksa Andy dan beri ubatan (yang memang sudah diberikan secara percuma oleh Hospital Likas),” katanya.
Bercakap dengan Malaysiakini setelah kematian Andy, neneknya percaya kesihatan kanak-kanak itu merosot kerana mereka semakin kurang ke hospital untuk mendapatkan ubatan dan rawatan, selepas Hospital Lahad Datu tetap berkeras agar mereka melunaskan hutang.
“Saya tak tahu apa yang akhirnya menyebabkan kematian Andy kerana saya tak faham penjelasan berkenaan keadaan Andy diberi dalam Bahasa Inggeris dan saya tak faham," katanya.
Andy dimasukkan ke wad selama seminggu sebelum kematiannya.
Selepas dia meninggal dunia, pihak hospital setakat ini belum meminta tunggakan hutang dari keluarga.
Birokrasi dalam isu kerakyatan dari ibu ke anak
Kerakyatan adalah isu yang rumit. Dalam beberapa keluarga di Sabah yang ditemui Malaysiakini, ada adik-beradik dari ibu bapa yang sama tetapi tidak mendapat hak kerakyatan yang sama.
Biasanya ia berpunca daripada birokrasi yang tidak berkompromi, menyebabkan pelbagai masalah dalam kehidupan mereka. Masalah itu sehingga melibatkan isu survival dan dalam beberapa kes, ia membawa kepada kehilangan nyawa.
Kesusahan yang dihadapi ibu Andy selari dengan apa yang dinyatakan dalam satu laporan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia untuk Matlamat Pembangunan Lestari (APPGM-SDG) pada 2021, yang mendapati banyak bantuan untuk ibu tunggal tidak sampai kepada ibu tunggal yang tidak berkahwin.
Ini kerana ibu tunggal biasanya dianggap sebagai janda atau balu, dan tidak merangkumi wanita yang mempunyai anak tetapi tidak berkahwin.
Andy tidak mendapat rawatan kerana dia tidak dapat membuktikan kerakyatannya walaupun bapa, datuk, nenek, bapa saudara dan ibu saudara merupakan warganegara Malaysia.
Lima adik beradik ibu Andy juga berstatus warganegara. Hanya ibunya yang tidak memiliki status itu walaupun sijil kelahirannya menyatakan dia warganegara Malaysia.
Apabila wanita itu mendaftar untuk mendapatkan MyKad semasa berusia belasan tahun, pihak JPN mengatakan pendaftarannya terlalu lewat. Biasanya warganegara perlu mendaftar untuk MyKad pada umur 12 tahun.
Usahanya untuk mendapatkan MyKad semasa dewasa pula terhalang oleh birokrasi ekoran kesilapan ejaan nama bapa di sijil kelahiran.
Ibu bapa Andy tidak mendaftarkan perkahwinan mereka. Bapa Andy adalah seorang warganegara dari Kuala Lumpur dan meninggalkan ibunya semasa Andy masih dalam kandungan. Tanpa sijil nikah ibu bapanya, Andy dianggap bukan warganegara.
Selepas Andy didapati dijangkiti HIV, ibunya cuba mendapatkan semula MyKad dengan harapan ia akan memudahkan Andy untuk mendapat rawatan.
Akhirnya, dia berjaya mendapatkan temu janji untuk mengubah ejaan nama bapanya di sijil kelahiran, tetapi ia sudah terlambat.
Andy meninggal dunia sebelum tarikh temu janji tersebut.
Orang Asal tapi dianggap penceroboh
Orang Bajau Laut dikenali tinggal di lautan yang indah. Gambar Kanak-kanak Bajau Laut riang bermain di laut biru sering menghiasi laman media sosial dan pelancongan. Mereka kelihatan hidup bebas, tanpa sebarang kerisauan dan tidak mengejar apa-apa.
Namun, apabila Malaysiakini melawat beberapa perkampungan Bajau Laut keadaannya amat berbeza. Di sana, kanak-kanak melompat dari rumah-rumah usang ke kawasan air yang gelap dan kotor.
Pun begitu, keriangan dan senyuman yang diberikan mereka tetap menambat hati sesiapa yang melihatnya.
Walaupun kerajaan Sabah mengiktiraf etnik pelaut ini sebagai Orang Asal, ramai dalam kalangan Bajau Laut tidak memiliki kerakyatan dan sering diganggu pihak penguatkuasa imigresen yang menganggap mereka sebagai “pendatang tanpa izin”.
Pada akhir 2020, semasa dunia sibuk berdepan dengan wabak Covid-19, Suhakam dan suruhanjaya hak asasi manusia dari Indonesia dan Filipina mengeluarkan kenyataan yang membangkitkan undang-undang imigresen di negara masing-masing telah memburukkan keadaan penduduk tanpa kerakyatan di Sabah.
Tiga suruhanjaya ini juga menandatangani satu memorandum untuk menangani isu penduduk tanpa kerakyatan di negeri itu.
Bagaimanapun perintah kawalan pergerakan (PKP) ekoran Covid-19 menyukarkan rancangan untuk mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi yang berkaitan, kata Suhakam dalam laporannya yang dibentang di Parlimen Jun lalu.
Pada 7 Sept, di Semporna tempat terletaknya kebanyakan kampung Bajau Laut, tiga agensi ini sekali lagi menandatangani perjanjian untuk memperbaiki kehidupan warga tiada kerakyatan di Sabah.
Bayar dulu sebelum terima rawatan
Malaysiakini menemubual sejumlah pegawai perubatan di institusi kesihatan awam di beberapa tempat di Sabah berkenaan isu kerakyatan dan akses kepada rawatan kesihatan.
Mereka ditemubual Malaysiakini dengan syarat tidak dinamakan kerana sebagai pegawai kerajaan, mereka perlu kebenaran untuk bercakap dengan media.
Menurut mereka, Hospital Lahad Datu adalah hospital yang paling tegas di Sabah dalam soal mengutip bayaran sebelum memberi rawatan kepada pesakit yang tiada kerakyatan.
Di hospital, mengutip bayaran dari pesakit adalah tanggungjawab Unit Hasil. Namun beberapa pegawai perubatan menyuarakan rasa kurang senang mereka dengan tiadanya budi bicara daripada Unit Hasil di Hospital Lahad Datu semasa mendapatkan bayaran dari golongan yang tidak berkemampuan.
Beberapa pegawai perubatan di hospital itu juga berkata mereka rasa seperti sentiasa dipantau oleh Unit Hasil dalam soal ini.
“Kami telah ditegur oleh mereka (Unit Hasil) berkali-kali dan diingatkan bahawa kami perlu dapatkan bayaran sebelum beri rawatan,” kata seorang pegawai perubatan.
Para pegawai perubatan berkata mereka cuba sedaya-upaya untuk memberi rawatan secepat mungkin, walaupun bayaran pendaftaran belum dijelaskan.
Tapi ini hanya boleh dibuat apabila pesakit tiba di unit kecemasan dalam keadaan kritikal.
Pesakit yang tiba dalam keadaan kritikal akan segera dimasukkan ke Zon Merah untuk rawatan dan sebarang ujian yang diperlukan tanpa perlu membayar terlebih dulu.
Namun begitu, setelah pesakit ini dipindahkan dari unit kecemasan, dia akan berdepan desakan untuk menjelaskan bayaran, sama ada semasa dia ditempatkan di wad untuk rawatan lanjut atau ketika dibenarkan pulang ke rumah.
Menurut seorang lagi pegawai perubatan Hospital Lahad Datu, terdapat ramai pesakit yang telah disuruh pulang kerana mereka tidak dapat membayar untuk ujian diagnosis, termasuk ujian darah atau air kencing.
Seorang pakar yang pernah bertugas di beberapa hospital pakar dan hospital daerah di Sabah berkata Hospital Lahad Datu ialah hospital yang mengenakan syarat “bayar sebelum rawatan” dengan paling ketat.
Beberapa pegawai perubatan di hospital daerah dan pakar di Sabah juga menyuarakan pandangan sama.
Misalnya, Malaysiakini difahamkan di Hospital Kuala Penyu, pesakit dibenarkan membuat pelan bayaran secara ansuran sebelum meninggalkan hospital. Para doktor juga cuba untuk melepaskan pesakit dari wad secepat mungkin untuk meringankan beban kewangan mereka.
Pun begitu, seorang pegawai perubatan di hospital itu berkata ada pesakit yang tidak memiliki dokumentasi datang ke hospital setelah cuba merawat diri sendiri dengan apa saja cara. Pastinya ini berisiko membawa mudarat.
Apa kata pekeliling
Pekeliling berkenaan bayaran untuk bukan warganegara di hospital kerajaan bermula pada 2014.
Namun sebelum itu, pada tahun 2001, Jabatan Kesihatan Sabah mengeluarkan pekeliling mewajibkan pegawai perubatan untuk melaporkan kepada polis jika seorang yang tidak mempunyai dokumentasi cuba mendapatkan rawatan. Menurut pekeliling ini, kemasukan warga asing ke Malaysia adalah “ancaman terhadap keselamatan negara”.
Pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan sejak 2014 menyatakan kakitangan hospital perlu sedaya upaya mendapatkan bayaran dari pesakit bukan warganegara selepas mereka dilepaskan dari Zon Merah di unit kecemasan.
Tetapi pekeliling-pekeliling ini tidak menyatakan secara jelas bahawa peraturan sama juga terpakai kepada golongan yang tiada kerakyatan, yang dirujuk sebagai “UR” atau “unregistered (tidak berdaftar)”.
Perintah Fi (Perubatan) (Pindaan) 2014, yang diwartakan pada tahun sama, juga tidak menyentuh berkenaan golongan ini.
Di lapangan, golongan yang tiada kerakyatan dianggap sebagai warga asing dan beberapa pekeliling membenarkan unit hasil di hospital untuk meminta kerjasama kakitangan perubatan dan wad untuk “menggunakan kuasa mereka” bagimendapatkan bayaran dari mereka.
Satu pekeliling yang ditandatangani jabatan kewangan Kementerian Kesihatan mengarahkan pihak hospital untuk menghalang pesakit dari dipindahkan dari jabatan kecemasan sebelum mereka menjelaskan bayaran pendaftaran dan deposit kemasukan wad.
Pekeliling ini juga mengarahkan unit hasil untuk mendapatkan bantuan kakitangan wad untuk tidak memberi ubat jika bayaran belum dibuat, dan menggunakan kakitangan keselamatan untuk memastikan pesakit tidak pulang sebelum membayar bil mereka.
Pihak hospital juga diarahkan mendapatkan maklumat peribadi keluarga pesakit untuk tujuan mengutip bayaran.
Dengan bayaran RM120, pesakit dapat ke klinik pesakit luar di hospital untuk berjumpa doktor dan mendapatkan ubat untuk lima hari. Bayaran lain diperlukan untuk ujian-ujian lain.
Jika pesakit memerlukan lebih ubat, mereka perlu mendapatkannya di farmasi swasta.
Tapi biasanya golongan tiada kerakyatan ini hanya mampu membayar RM120 untuk pendaftaran, dan ramai dalam kalangan mereka tidak dapat menjalani rawatan lengkap untuk pulih sepenuhnya.
Kanak-kanak terus sengsara
Maimunnah, 7, antara kanak-kanak tanpa kerakyatan di Lahad Datu yang terpaksa menunggu sehingga dalam keadaan kritikal sebelum mendapat rawatan.
Semasa seorang pegawai perubatan terserempak dengan di sebuah tempat pelupusan sampah di Lahad Datu, leher, dada dan belakangnya telah bengkak dan penuh nanah.
Ibunya, Mariam, 24, menjual barangan terpakai dan boleh kitar semula yang dikumpulnya di tempat pelupusan sampah itu untuk menyara kehidupan. Daripada itu, dia hanya meraih RM100 setiap bulan dan tidak mampu membayar untuk rawatan anaknya.
Atas desakan pegawai perubatan tersebut, dia membawa Maimunnah ke hospital.
Di Hospital Lahad Datu, didapati sepsis telah menular dalam badan Maimunnah dan dia didapati menghidapi Retrophyaryngeal abscesses yang mengancam nyawa.
Oleh kerana keadaan Maimunnah sangat kritikal, pegawai perubatan Hospital Lahad Datu memutuskan untuk menghantarnya ke Hospital Tawau untuk pembedahan mengeluarkan nanah dari badannya.
Mengambil kira keadaannya yang kritikal, bayaran pendaftaran di Hospital Lahad Datu ditangguhkan buat sementara, tetapi pihak hospital berkeras untuk mendapatkan bayaran untuk ujian RTK-Ag Covid-19 sebelum dia dibenarkan menaiki ke ambulans ke Tawau.
Biasanya, ujian kendiri RTK-Ag Covid-19 di farmasi swasta hanya berharga RM4, tapi bukan warganegara dikenakan RM200 untuk ujian ini di Hospital Lahad Datu.
Mujurlah ada pihak yang bermurah hati untuk membayarnya dan Maimunnah dikejarkan ke Hospital Tawau.
Hospital Tawau tidak mengenakan bayaran untuk pembedahan ke atas Maimunnah dan memberikannya kelepasan untuk dirawat secara percuma di Hospital Lahad Datu sehingga sembuh.
Ibu bapa Maimunnah bersyukur nyawa anak mereka diselamatkan tetapi tetap risau jika dia jatuh sakit lagi di masa akan datang.
“Saya hanya mampu beli nasi, lampin dan susu untuk anak bongsu saya,” kata Mariam.
Ketika dihubungi, Pengarah Kesihatan Sabah Dr Rose Nani mengesahkan telah menerima soalan dari Malaysiakini berkenaan isu ini dan berkata pihak komunikasi korporat KKM akan memberikan maklum balas.
Pesuruhjaya Suhakam Mariati Robert juga telah melawat Hospital Lahad Datu dan perkampungan Bajau Laut untuk menyiasat isu ini.
Suhakam bagaimanapun berkata pihaknya tidak dapat membuat kenyataan sehingga siasatan tersebut selesai.
Rencana ini adalah bahagian kedua dari lima bahagian dalam siri khas untuk Hari Malaysia, yang membincangkan isu golongan tanpa kerakyatan di negara ini.
Bahagian 1: Bayi dirampas: Bagaimana ibu tiada kerakyatan 'hilang' anak di hospital Sabah
Esok: Tak mampu bayar bil hospital, ibu bunuh diri bersama bayi di Sabah
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai