Skip to main
Logo Malaysiakini

Hantar memo ke parlimen: Polis rakam percakapan tiga pemimpin PSM

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Polis merekodkan kenyataan tiga pemimpin PSM berhubung acara penyerahan memorandum di parlimen Selasa lepas.

Mereka yang dirakamkan percakapan itu ialah Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan, Bendahari PSM Soh Sook Hwa dan anggota Pemuda PSM Ayman Hareez.

Peguam yang mewakili tiga pemimpin PSM itu, Y Kohila (gambar, bawah) memaklumkan mereka telah disoal di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.

"Soalan yang ditanya (polis) adalah standard. Tapi kertas siasatan (bawah Seksyen 186 itu) dan soalan tidak ada kaitan.

"Misalnya, soalan tanya adakah kamu hadiri untuk bagi memorandum, siapa penganjur, apa peranan kamu, adakah kamu bawa plakad," katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini.

Terdahulu, peguam itu mengiringi tiga pemimpin PSM tersebut untuk sesi merakam percakapan. Sesi itu berlangsung lebih dari satu jam.

Menurut Kohila, anak guamnya enggan menjawab mana-mana soalan yang dikemukakan, berkata mereka akan menjawab di mahkamah.

Pun begitu, jelasnya polis malahan bertanya kepada mereka apa jawapan yang mereka akan berikan di mahkamah.

Ketiga-tiga mereka juga tidak ditunjukkan sebarang laporan polis yang dibuat terhadap mereka berhubung perkara itu, tambahnya.

Kohila menyifatkan sesi soal siasat itu sebagai "membuang masa", kerana polis sudah mempunyai jawapan kepada soalan yang mereka ajukan.

"Soalan-soalan mengenai) siapa bagi ucapan, apa plakad dibawa, (pihak polis) boleh tengok video (rakaman acara) saja," jelasnya.

Sementara itu, Arutchelvan berkata dia ditanya sebanyak 22 soalan.

"Perkara ini (menyoal siasat) perlu dihentikan dan tindakan menghentikan rakyat daripada pergi ke parlimen juga harus berhenti.

"Kalau nak mengenakan Seksyen 186 ia perlu digunakan terhadap polis kerana menghalang rakyat pergi ke parlimen, bukan sebaliknya," katanya.

Ketiga-tiga pemimpin PSM ini telah mengiringi sekumpulan petani dari Perak untuk merayu Putrajaya supaya campur tangan dalam rancangan kerajaan negeri menjadikan ladang mereka sebagai kawasan pembangunan perumahan dan perindustrian.

Timbalan Setiausaha Agung PSM Bawani KS sebelum ini menyifatkan tindakan memanggil ketiga-tiga anggota parti itu sebagai intimidasi polis.