Skip to main
Logo Malaysiakini

Penganalisis Bank Negara: 'Putera Faisal' pindah RM60j ke akaun Najib

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Seorang penganalisis Bank Negara berkata Putera Faisal Turki Bandar al-Saud dari Arab Saudi memindahkan sebanyak AS$20 juta (RM60,629,839.43 ketika itu) dana berkaitan 1MDB kepada bekas perdana menteri Najib Razak pada 2011.

Adam Ariff Mohd Roslan berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah terhadap Najib melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Adam, yang merupakan saksi pendakwaan ke-47, memberitahu wang itu dipindahkan secara dua peringkat, masing-masing sebanyak AS$10 juta pada 24 Februari 2011 dan 14 Jun 2011.

Menurutnya, akaun Najib berakhir dengan digit 694 di Ambank menerima wang itu dari sebuah akaun bank di Riyadh di bawah nama "HRH Prince Faisal Turki Al-Saud" dan "HRH Prince Saud Abdulaziz Al Saud".

Pakar jejak kwangan itu berkata, akaun di Riyadh itu sebelum itu telah menerima jutaan ringgit dari akaun Good Star Limited, iaitu sebuah entiti yang didaftarkan di Pulau Seychelles yang dikaitkan dengan Jho Low, pada 2010 dan 2011.

"Berdasarkan hampirnya tarikh Good Star menghantar dana ke akaun Bank Riyad dengan tarikh akaun Bank Riyad menghantar dana kepada akaun AmPrivate Banking–MR (milik Najib), serta dekatnya nilai dana yang dihantar ke akaun Bank Riyad dengan nilai dana yang dihantar akaun bank itu ke akaun AmPrivate Banking–MR, munasabah untuk meyakini bahawa akaun Riyad Bank digunakan sebagai akaun perantara untuk memindahkan wang dari Good Star, yang berasal daripada 'subject matter'," kata Adam ketika membacakan Laporan Jejak Wang 1MDB setebal 76 halaman.

Terdahulu, Adam dalam keterangannya berkata Najib menerima lebih RM2.28 bilion dana 1MDB menerusi empat fasa dari 2011 hingga 2014 dan AS$700 dana milik 1MDB - daripada AS$1 bilion yang diperuntukkan untuk usaha sama dengan Petrosaudi International Limited (PSI) - dipindahkan ke Good Star pada 2009.

Dia juga berkata Jho Low membuka akaun bank Swiss untuk Good Star tiga bulan sebelum entiti luar pesisir itu menerima AS$700 juta dana 1MDB.

Dalam pernyataan pembukaan pendakwaan di awal perbicaraan, pihak pendakwaan berhujah yang Good Star mengagihkan wang berjumlah AS$700 juta itu kepada beberapa orang, termasuk individu bernama Putera Faisal.

Pendakwaan mendakwa Putera Faisal menerima US$12,500,000 dari Good Star pada 18 Februari 2011 dan AS$12 juta lagi pada 10 Jun tahun yang sama.

Daripada jumlah ini, pendakwaan berkata dia memindahkan AS$20 juta ke akaun peribadi Najib menerusi dua peringkat, dengan transaksi pertama dibuat pada 24 Februari 2011, iaitu enam hari selepas Putera Faisal menerima wang dari Good Star.

[Baca berita asal]