Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak mampu bayar bil hospital, ibu bunuh diri bersama bayi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Rencana ini merupakan bahagian ketiga dalam siri khas Hari Malaysia merungkai isu golongan tiada kerakyatan di Malaysia.


Pada 1 Februari 2020, seorang ibu muda berumur 16 tahun mundar-mandir di wad materniti Hospital Lahad Datu.

Bayinya yang berumur lima bulan sudah dirawat di wad selama 11 hari akibat jangkitan bakteria dan keluarga Orang Asal etnik Bajau Laut ini tidak mampu membayar bil hospital.

Walaupun menjadi kaum pribumi di Sabah, mereka tidak mempunyai dokumentasi yang membuktikan mereka adalah warganegara, dan maka tiada akses untuk rawatan bersubsidi di hospital kerajaan.

Pada hari tersebut, bil hospital sudah melebihi RM3,000 dan Unit Hasil hospital sudah mula meminta bayaran. 

Dengan penuh gelisah, ibu muda itu mendodoi bayinya yang baru saja dibenarkan untuk dicabut ventilator. Dia mula mundar-mandir di wad dan memberitahu kakitangan hospital dia ingin ke tandas.

Tidak lama kemudian, ibu muda tersebut dan bayinya ditemui mati di kawasan berumput bersebelah bangunan hospital. Pihak berkuasa berkata dia telah membunuh diri dan bayinya (murder-suicide).

Secara amnya, tragedi ini yang berlaku lebih tiga tahun lalu tidak memberikan apa-apa kesan kepada masyarakat.

Malah, keadaan yang menimpa ibu muda itu terus berulang setiap kali seorang Bajau Laut tanpa kerakyatan cuba mendapatkan rawatan di Hospital Lahad Datu.

Laporan berita berkenaan kejadian pada 2020.

Takut untuk dapatkan rawatan

Mohd Hassan Garang, 64, adalah ketua kampung di Kampung Panji, di mana pasangan muda tersebut tinggal sebelum tragedi itu.

Sebelum kematiannya, ibu muda tersebut tinggal bersama suami dan bayinya di sebuah rumah kayu kecil yang dibina di atas air di persisiran pantai Lahad Datu.

Menurut Hassan, sebelum remaja itu membuat keputusan muktamadnya, dia diancam akan ditahan polis jika tidak membayar bil hospital.

“Saya siasat kes ini serta-merta dan dapati mereka telah ancam untuk tahan dia dan bayinya di hospital,” katanya.

Mohd Hassan Garang

Sumber dari hospital mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa ibu muda itu mula resah apabila dia diberitahu yang anaknya mungkin diambil darinya.

“Memang kebiasaan untuk kakitangan hospital mengancam pesakit dan kata: ‘Kamu tak boleh tinggalkan hospital kalau tak bayar bil’ atau ‘kami akan panggil polis’,” kata Hassan.


BACA: Bayi dirampas: Bagaimana ibu tiada kerakyatan 'hilang' anak di hospital Sabah


Hassan berkata ramai penduduk kampungnya yang tiada kerakyatan rasa tertekan akibat ancaman dan layanan buruk yang diterima di hospital.

“Inikan pula seorang gadis muda, di hospital seorang diri tanpa sesiapa dan sedang risaukan keadaan bayinya,” katanya. 

Seorang kanak-kanak di sebuah kampung Bajau Laut di Lahad Datu.

Berikutan tragedi tersebut, katanya lagi, semakin kurang komuniti Bajau Laut tanpa kerakyatan mendapatkan rawatan perubatan di hospital, dan lebih ramai yang menunggu sehinggalah mereka dalam keadaan kritikal.

Ini kerana bayaran pendaftaran boleh ditangguhkan untuk kes kecemasan. 

“Jadi ramai yang akan tunggu sampai dah tak boleh tahan sakit lagi. Ramai dah meninggal begini,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan respons berkenaan perkara ini.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Mariati Robert telah melawat hospital tersebut untuk menyiasat aduan berkenaan isu ini.

Dia berkata Suhakam hanya boleh mengeluarkan kenyataan setelah siasatan selesai.

Komuniti Orang Asal dianggap penceroboh

Etnik Bajau Laut diiktiraf oleh kerajaan Sabah sebagai orang asal negeri tersebut tetapi kebanyakan mereka dianggap sebagai “pendatang tanpa izin” kerana tidak mempunyai dokumen kerakyatan.

Sebagai bukan warganegara, mereka perlu membuat bayaran sebelum menerima rawatan di hospital kerajaan. Bayaran pendaftaran adalah sebanyak RM100 untuk jabatan kecemasan dan RM120 untuk klinik pesakit luar. 

Pekeliling kerajaan memang jelas berkenaan kadar bayaran untuk bukan warganegara tetapi tidak menyatakan apa-apa untuk kategori UR atau “unregistered” - iaitu rujukan untuk golongan tiada kerakyatan yang digunakan oleh pegawai kesihatan di hospital. 

Perbezaan kadar bayaran antara warga dan bukan warga memang jelas. Namun, isu status kerakyatan adalah lebih rumit.

Di kalangan beberapa keluarga yang ditemui Malaysiakini di Sabah, ada dalam kalangan adik-beradik kandung yang memiliki kerakyatan sementara yang lain tidak.

Lazimnya ia berpunca daripada birokrasi dan membawa kesan yang amat buruk seperti dalam kes Andy (bukan nama sebenar), kanak-kanak yang meninggal dunia kerana sekian lama tidak mendapat rawatan untuk HIV/AIDS. 

Walaupun lahir di Malaysia dan bapanya juga warga Malaysia, Andy tiada kerakyatan kerana ibunya tidak berkerakyatan dan tidak berkahwin dengan bapanya.

Ibu Andy tiada kerakyatan walaupun lahir di Malaysia dan kedua ibu bapanya adalah warganegara Malaysia yang berkahwin. Ini hanya kerana terdapat kesilapan ejaan pada nama bapa di sijil kelahirannya dan wanita itu lambat beberapa tahun membuat pendaftaran MyKad.


BACA: Lewat dapat rawatan HIV, kanak-kanak tanpa kerakyatan maut


Rentas generasi

Seperti Andy, anak-anak Fandry Alsao, 35, juga berdepan masalah sama. Anak-anak mereka juga lahir di Malaysia dan bapa mereka warganegara Malaysia.

Isterinya, yang tidak ingin dinamakan, merupakan generasi ketiga dalam keluarganya yang lahir di Malaysia. Namun sijil kelahirannya menyatakan dia adalah keturunan “Filipina” dan “bukan warganegara”. Dia tidak pernah keluar dari Malaysia dan tiada keluarga yang dikenalinya di Filipina.

Ekoran status wanita ini, pasangan ini tidak dapat mendaftarkan pernikahan mereka. Oleh itu, keenam-enam anak mereka tiada kerakyatan, seperti ibu mereka.

Fandry Alsao warga Malaysia tetapi anak-anaknya tiada kerakyatan.

Menurut undang-undang Malaysia, bayi yang lahir di Malaysia dan mempunyai ibu atau bapa warganegara akan diberikan kewarganegaraan, dengan syarat ibu bapanya sudah berkahwin.

Oleh kerana Fandry seorang warganegara, anak-anaknya boleh mendapatkan rawatan bersubsidi di hospital kerajaan sehingga berusia 13 tahun.

Dasar Kementerian Kesihatan Malaysia mengecualikan bayaran untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah jika ibu atau bapa mereka wargenegara atau pemastautin tetap.

Anak sulung pasangan ini baru menyambut ulang tahun yang ke-13.

“Dia baru 13 tahun. Macam mana dia nak cari duit untuk bayar rawatan perubatan?” soal Fandry.

Hanya rawat gejala di klinik swasta

Semua adik-beradik Fandry berstatus warganegara kecuali abang sulungnya. Abangnyalah yang menyara keluarga selepas ibu bapa mereka meninggal dunia. Punca abang Fandry tiada kerakyatan adalah tidak jelas.

Abang Fandry, yang tidak mahu dinamakan, bekerja sebagai nelayan. Dia tempang kerana sebelah kakinya bengkak. Punca bengkak tersebut tidak diketahui kerana dia tiada wang untuk membayar kos ujian diagnostik di Hospital Lahad Datu. 

“Dia bayar RM100 untuk pendaftaran di jabatan kecemasan dan RM120 lagi untuk buat ujian darah, tapi tak bersedia untuk bayar bagi ujian-ujian lain.

“Oleh kerana dia tidak cukup duit untuk bayar ujian air kencing, pihak hospital menyuruhnya pulang tanpa rawatan atau ubatan,” kata Fandry.

Seorang lelaki Bajau Laut dengan sampannya.

Abang Fandry berjaya mengumpul sedikit wang untuk berjumpa doktor sekali lagi. Tetapi kali ini dia terus ke klinik swasta untuk mengelak daripada membayar RM100 caj pendaftaran di jabatan kecemasan. Di klinik swasta dia hanya diberi ubat tahan sakit.

Bukan dia seorang sahaja yang berbuat demikian demi mengelak bayaran tinggi untuk ujian diagnostik dan rawatan di Hospital Lahad Datu.

Di satu simpang berdekatan bandar, Malaysiakini terserempak dengan seorang wanita Bajau Laut yang sedang meminta sedekah bersama anak-anaknya. 

“Sebelum jumpa doktor, saya perlu rancang untuk kumpul wang. Saya perlu minta sedekah di lampu isyarat untuk kumpul duit yang cukup untuk dapatkan ubatan,” katanya, sambil menunjukkan paket-paket ubat yang didapatinya dari hospital sebelum ini.

Wanita Bajau Laut menunjukkan ubatan yang diterimanya.

 Malaysia tidak menandatangani konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan Status Golongan Tiada Kerakyatan 1954. Oleh itu, Malaysia tidak terikat untuk memastikan golongan ini mendapat akses pendidikan, tempat tinggal, pekerjaan atau bantuan kebajikan.

Namun begitu, PBB dalam Universal Periodic Review 2018 dan 2019 telah menggesa Malaysia meningkatkan jaminan berkaitan hak asasi manusia.

Ini termasuk memastikan bukan warganegara tidak dibebankan dengan kos perubatan yang tinggi di hospital kerajaan dan tidak dikenakan bayaran yang lebih tinggi daripada warganegara. 

Papan tanda di Hospital Lahad Datu menunjukkan bayaran untuk bukan warganegara.

Tapi cadangan-cadangan ini tidak diendahkan oleh Malaysia dan di Hospital Lahad Datu, bayaran dikenakan pada golongan warganegara tanpa ruang budi bicara.

Pandangan umum rakyat Malaysia merasakan ini tindakan yang wajar dan rakyat perlu diutamakan untuk menggunakan kemudahan hospital dan sumber-sumber kesihatan lain yang terhad.

Pada 2013, semasa suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berkenaan isu orang tiada kerakyatan di Sabah dijalankan, wakil Jabatan Kesihatan Sabah berkata langkah memberikan  rawatan kepada bukan warganegara bermaksud menggunakan kemudahan yang “sepatutnya digunakan untuk merawat orang tempatan”. 

Memilih nyawa mengikut kerakyatan

Namun begitu, seorang pegawai perubatan di hospital pakar di Kota Kinabalu berkata hakikatnya keadaan tidak seharusnya sentiasa begitu.

“Contohnya, hospital ini ada kemudahan dan ubatan yang cukup untuk merawat 14 pesakit di ICU, tapi kami hanya boleh merawat lapan pesakit kerana kami tak cukup kakitangan.

“Jadi apa bezanya jika seorang yang tak ada kerakyatan itu boleh bayar harga tinggi atau tidak?”

Wad ICU semasa penularan wabak Covid-19

Katanya lagi, semasa penularan wabak Covid-19, katil ICU terakhir di hospitalnya digunakan untuk seorang bukan warganegara.

“Tapi bolehkah kita kata dialah punca enam pesakit lain meninggal keesokannya sebab mereka tak dapat rawatan ICU?” soalnya.

Katanya, di hospital pakar tempat dia bertugas, pengarah hospital menggunakan banyak budi bicara apabila merawat pesakit tiada kerakyatan yang tidak mampu membayar kos rawatan.

Tetapi di Lahad Datu dan juga beberapa daerah lain di Sabah, pegawai perubatan terpaksa membuat keputusan untuk cuba menyelamatkan nyawa atau tidak berdasarkan status kerakyatan pesakit.

Seorang wanita tiada kerakyatan mengira wang di Unit Hasil Hospital Lahad Datu.

Di Kudat, seorang pegawai perubatan berkongsi pengalaman memeluk seorang kanak-kanak di Zon Merah Jabatan Kecemasan selama 12 jam, sementara ayahnya cuba mencari RM1,200 untuk membayar rawatan anaknya.

Kanak-kanak itu mengalami kecederaan kepala dan perlu dibedah dengan segera, tapi di Jabatan Kecemasan pegawai perubatan hanya mampu memberi rawatan asas.

Akhirnya, keluarganya tidak dapat mengumpul RM1,200 untuk membayar pembedahan dan dia diminta pulang.

“Dengan pembedahan, kanak-kanak itu boleh diselamatkan.”


Bahagian 1: Bayi dirampas: Bagaimana ibu tiada kerakyatan 'hilang' anak di hospital Sabah

Bahagian 2: Lewat dapat rawatan HIV, kanak-kanak tanpa kerakyatan maut

Esok: Anak kecil maut dibaham buaya, kisah tragis golongan tanpa kerakyatan