Skip to main
Logo Malaysiakini

135 MP tuntut Myanmar bebaskan Suu Kyi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Seramai 135 ahli parlimen pembangkang dan kerajaan Malaysia menggesa pembebasan pemimpin Myanmar yang digulingkan Aung San Suu Kyi.

Ini selepas anak pemimpin parti Liga Demokratik Nasional (NLD) itu dilaporkan mendakwa kesihatannya semakin merosot dan sukar untuk makan serta dinafikan berjumpa doktor luar.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, 135 ahli parlimen mengisytiharkan setiakawan dengan rakyat Myanmar dan menggesa pembebasan Suu Kyi yang ditahan kerajaan tentera.

“Kami, ahli parlimen Malaysia juga menyeru Wisma Putra untuk melibatkan diri dengan kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar, kerajaan yang berhak dan dipilih secara demokratik (NUG) untuk menyokong pembebasan Aung San Suu Kyi.

“Kami menggesa junta tentera membebaskan tahanan politik terkenal Aung San Suu Kyi dan tahanan politik lain dan supaya Myanmar memasuki tempoh keamanan, kestabilan dan tadbir urus yang baik, menegakkan kedaulatan undang-undang untuk semua,” kata mereka.

Pemenang Hadiah Nobel dan ketua pembangkang Myanmar terhadap pemerintahan tentera selama beberapa dekad telah ditahan sejak rampasan kuasa awal tahun lalu dan telah pun dijatuhkan hukuman penjara lebih 17 tahun.

Tentera menggulingkan kerajaan Suu Kyi yang dipilih melalui pilihan raya pada 2021 dan bertindak keras terhadap penentang pemerintahan tentera, dengan beribu-ribu dipenjarakan atau dibunuh.

Suu Kyi berdepan hukuman penjara 27 tahun berkaitan 14 kesalahan jenayah.