'Bayi dirampas' - Dr Zaliha akan lawat Hospital Lahad Datu
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata kementeriannya sedang menyiasat dakwaan bayi yang baru lahir telah "dirampas" daripada ibu mereka yang tiada kerakyatan di sebuah hospital kerajaan di Sabah.
Katanya, kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku di mana-mana kemudahan perubatan di negara ini dan Kementerian Kesihatan akan menyusul laporan polis yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk menafikan dakwaan itu.
Pada hujung minggu lalu, Pengarah JKNS Dr Asits Sanna berkata jabatan itu telah melancarkan siasatan pantas sebagai tindak balas terhadap laporan Malaysiakini bertajuk “Baby snatching: How stateless mums lose their infants in Sabah hospital," yang diterbitkan pada hari Jumaat.
BACA BERKAITAN:
Bayi dirampas: Bagaimana ibu tiada kerakyatan 'hilang' anak di hospital Sabah
Dr Asits mendakwa JKNS mendapati dakwaan itu tidak benar dan tiada kejadian sedemikian berlaku di mana-mana hospital kerajaan di negeri ini.
JKNS kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.
Bagaimanapun, Zaliha hari ini berkata siasatan berasingan terhadap dakwaan itu sedang dijalankan.
“Terdapat banyak peringkat siasatan dan ibu pejabat Kementerian Kesihatan sedang menjalankan siasatan berasingan terhadap dakwaan ini.
“Ini adalah sesuatu yang sangat serius dan saya memandang serius jika dakwaan itu benar," katanya kepada Malaysiakini.
Zaliha berkata dia akan ke Lahad Datu untuk bercakap dengan kakitangan hospital dan pesakit.
"Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk turun menemui kakitangan dan pesakit. Kami benar-benar perlu memastikan perkara ini tidak berlaku pada masa hadapan jika ia telah berlaku.
"Pasukan kami dari ibu pejabat KKM sedang menjalankan siasatan yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Asmayani Khalib," jelasnya lagi.
Malaysiakini pada laporannya merekodkan beberapa kes wanita tanpa kerakyatan telah kehilangan bayi mereka atau diancam akan kehilangan terhadap hak penjagaan anak mereka, yang dirawat di Hospital Lahad Datu.
Dalam satu kes, siasatan hospital mendapati seorang ibu membunuh diri bersama bayinya selepas dia diberitahu bayinya yang berusia lima bulan akan diambil.
Ibu muda itu ditekan menjelaskan bil hospital yang besar untuk rawatan bayinya berusia lima bulan selepas 11 hari berada di wad akibat jangkitan bakteria dan keluarga Orang Asal etnik Bajau Laut tersebut tidak mampu membayar bil hospital.
Komuniti tanpa kerakyatan tidak mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan bersubsidi dan mesti membayar pendahuluan untuk pendaftaran, ujian dan rawatan di kemudahan penjagaan kesihatan awam, selalunya berjumlah ribuan ringgit.
Mengenai dakwaan aktivis kanak-kanak Hartini Zainuddin bahawa kejadian serupa berlaku di Semenanjung Malaysia, Zaleha enggan mengulas tetapi berkata kementerian akan menyiasat aduan yang dibuat.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai