Exco: P Pinang terima bekalan 30 tan beras tempatan
Pulau Pinang menjadi negeri pertama menerima 30,000 kilogram (kg) beras menerusi Intervensi Pengedaran Beras Putih Tempatan (BPT) hari ini dalam usaha menambah bekalan beras di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri Fahmi Zainol berkata semua beras bagi setiap kampit 10kg itu dipasarkan menerusi pusat-pusat jualan Lembaga Pemasaran Pertanian (Fama) di seluruh negeri bermula hari ini, dengan harga yang ditetapkan oleh BPT.
"Bekalan BPT akan dihantar ke negeri ini secara bersiri bagi menampung pasaran dan kekurangan bekalan beras tersebut dalam memastikan rakyat negeri ini mendapat beras lebih murah berbanding beras import yang lebih mahal.
"Namun menerusi program itu setiap individu hanya boleh membeli maksimum dua kampit iaitu 20kg BPT itu manakala peniaga pula 10 kampit (100kg)," katanya kepada Bernama di George Town hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bekalan BPT di seluruh negara dijangka pulih dalam tempoh sebulan susulan langkah intervensi segera yang sedang dilaksanakan kerajaan.
"Saya harap dengan program Intervensi Pengedaran BPT itu sekurang-kurangnya dapat membantu penduduk mendapatkan bekalan beras dan saya minta juga orang ramai tidak membuat pembelian panik (BPT) yang akan menyebabkan masalah beras itu terus tiada di pasaran," katanya.
Beliau berkata Pulau Pinang akan memohon kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan agar memberi autonomi kepada kerajaan negeri supaya dapat mengawal pengeluaran beras dan benih padi bagi memastikan bekalan di Pulau Pinang sentiasa mencukupi.
"Bagi jangka masa panjang, kerajaan negeri memohon untuk mendapatkan kuota pengeluaran benih padi supaya dapat mewujudkan bank benih padi di negeri ini, dengan cara ini secara tidak langsung dapat mengelakkan kewujudan monopoli dan memastikan benih padi dapat diedarkan secara terus kepada pesawah," katanya.
Beliau berkata ketika ini, terdapat 5,262 pesawah di Pulau Pinang yang mengusahakan 12,105 hektar kawasan padi dan tahun lepas hasil pengeluaran padi sebanyak 122,321 tan matrik dengan tahun ini proses tuaian masih berlangsung.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai