Skip to main
Logo Malaysiakini

Ahli parlimen PN keluar dewan protes dakwaan Anwar

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PARLIMEN | Wakil PN keluar beramai-ramai meninggalkan sidang Dewan Rakyat petang ini selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengecam Radzi Jidin (PN-Putrajaya) kerana ketawa ketika penjelasan mengenai kes Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) diberikan.

Anwar yang juga ahli parlimen Tambun ketika itu memberikan penerangan mengenai isu Ahmad Zahid yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram baru-baru ini.

Kata Anwar, isu mengenai apa yang dibincangkan di antara dia dengan peguam negara sebelum ini, Idrus Harun, dibangkitkan oleh Hamzah Zainudin (PN-Larut).

Menurut Anwar, apabila Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk menghentikan prosiding mahkamah membabitkan Ahmad Zahid, dia bertanya kepada Idrus.

Kata Anwar, Idrus selaku peguam negara ketika itu mengakui memberikan arahan berkenaan.

"Saya bukan berbincang mengenai keputusannya (menghentikan prosiding), saya (cuma) tanya alasan, minta penjelasan (dan) can you defend it (adakah kamu boleh mempertahankan keputusan tersebut)?" kata Anwar.

Ketika itu Radzi ketawa apabila mendengar kata-kata Anwar.

"You boleh gelak... you boleh gelak Putrajaya, kerana you buat perkara itu.

"Semasa pentadbiran (PN) you buat perkara itu," dakwa Anwar.

Radzi Jidin

Kenyataan itu dibantah oleh Radzi yang bingkas berdiri dan mendesak Anwar menarik balik kata-kata berkenaan.

Radzi yang juga bekas menteri kanan semasa kerajaan PN mendakwa kenyataan dibuat Anwar itu berniat jahat kerana menuduh dia melakukan salah laku.

Keadaan menjadi kecoh selama lebih 20 minit dengan ahli parlimen dari kedua-dua blok saling bertegang leher, sama ada mendesak Anwar menarik balik kenyataannya atau mempertahankan perdana menteri.

Sebahagian kerajaan lama

Radzi pula bertegas mendesak Anwar menarik balik kenyataannya walaupun Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul meminta Radzi duduk supaya perdana menteri memberi penjelasan.

Apabila keadaan masih tidak dapat dikawal, Johari mengarahkan Radzi keluar dari Dewan Rakyat.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin pula menunjukkan solidariti terhadap arahan dibuat Johari dengan meminta semua ahli parlimen PN bersama-sama meninggalkan dewan tersebut.

Selepas ahli parlimen pembangkang keluar dan keadaan kembali terkawal, Anwar menyambung penjelasannya dengan merujuk kepada keadaan pentadbiran di bawah PN.

“Apa yang saya katakan itu benar, Putrajaya (Radzi) tahu (apa yang berlaku), dia adalah sebahagian daripada pentadbiran lama dan AG ‘lama’ (Idrus).

“Sebab itu dia (Radzi) tidak tahan mendengar penjelasan saya.

“Ini kerana mereka sudah biasa dengan sistem itu dan mereka fikir saya juga melakukan perkara yang sama,” tambahnya.

Sementara itu, semasa sidang media di lobi parlimen, Hamzah menjelaskan semua ahli parlimen PN bersepakat meninggalkan Dewan Rakyat sebagai tanda protes terhadap Johari.

"Ini adalah sesuatu yang tidak adil pada Putrajaya (Radzi). Tambun (Anwar) membuat tuduhan yang dahsyat kepada Putrajaya dan Putrajaya hanya bangkit untuk memberitahu agar beliau menarik balik kata-kata tersebut," katanya.

Tambah Hamzah langkah dibuat Johari adalah tidak adil buat ahli parlimen pembangkang.

Radzi yang turut bercakap pada sidang media itu pula mendakwa kejadian petang tadi adalah hari yang gelap buat Malaysia kerana ketidakadilan dihadapi ahli parlimen pembangkang.

Kata Radzi sepatutnya menarik balik dakwaan berkenaan adalah mudah buat Anwar tetapi perdana menteri masih mempertahankan kata-katanya.

[Baca berita penuh]