Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak kecil dibaham buaya, kisah tragis golongan tanpa kerakyatan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Rencana ini merupakan bahagian keempat dalam siri khas Hari Malaysia merungkai isu golongan tiada kerakyatan di Malaysia.


Apabila dia berlari dari pantai ke tengah laut di Lahad Datu, Morehat Lindasani hanya mahu menyelamatkan diri dan anaknya daripada ditangkap oleh pegawai imigresen.

Ketakutan ditangkap imigresen melangkaui bahaya yang menunggu di dalam laut. Pada tanggapan Morehat, buaya air masin tidak akan berlegar berdekatan pantai yang agak sibuk.

Tapi menurut saksi kejadian, dalam sekelip mata saja, seekor buaya membaham kanak-kanak lelaki berusia dua tahun itu sebalum menghilang masuk ke air dalam.

Morehat juga digigit buaya dan apabila dia sedar anaknya tiada lagi dalam dakapan, nasi sudah menjadi bubur.

Video yang dirakam orang awam yang menyaksikan sendiri tragedi ini, yang berlaku pada 1 Disember, 2022, tular di media sosial. Rakaman itu menunjukkan Morehat meraung dan ke tebing untuk meminta bantuan.

Terdengar suara yang berkata dialah punca anaknya maut: “Siapa suruh kau lari tadi? Kan sudah dimakan buaya.”

Tidak jelas sama ada suara itu dari pegawai penguatkuasa atau orang awam. Tiada tindakan diambil untuk menahan Morehat semasa atau selepas dia dirawat di hospital.

Malaysiakini telah menghubungi Jabatan Imigresen berhubung perkara ini.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkata pihaknya tidak dapat memberi maklum balas sementara siasatannya berkenaan insiden ini sedang berjalan. 

Operasi imigresen tetap diteruskan

Kecederaan di kepala dan badannya akibat serangan buaya sembuh sebulan selepas tragedi itu tetapi ketika ditemui Malaysiakini, Morehat masih tidak dapat bercakap tentangnya. Dia hanya memberi jawapan pendek. Di tengah percakapan, dia akan berhenti seketika dan termenung.

Menurut Ketua Jabatan Bomba Lahad Datu Sumsoa Rashid, saksi kejadian berkata Morehat dan anaknya di dalam sampan semasa diserang buaya.

Sumsoa berkata, pada hari tersebut pasukannya dipanggil ke tempat kejadian semasa Morehat dan orang awam mencari anaknya di dalam air.

Kecederaan Morehat Lindasani sudah sembuh namun masih sukar untuknya berkata-kata berkenaan insiden yang menimpa.

Namun ia bertentangan dengan apa yang diceritakan oleh Morehat dan penduduk tempatan kepada Malaysiakini.

Menurut mereka, Morehat berenang di laut semasa diserang dan telah berenang ke persisiran untuk meminta bantuan. Morehat pula menjelaskan dia terjun ke laut untuk berenang ke sampannya, tetapi diserang buaya sebelum sampai.


BACA: Bayi dirampas: Bagaimana ibu tiada kerakyatan 'hilang' anak di hospital Sabah


Apabila berita tentang insiden ini tular di media sosial, ramai warga Sabah marah dan mendesak operasi menahan warga tiada kerakyatan dihentikan.

Tetapi menurut ketua komuniti Bajau Laut Fandry Alsao, di hari-hari yang berikutnya, operasi tetapi diteruskan dan lebih ramai ditangkap.

“Mereka tidak berhenti, walau untuk sementara,” katanya.

Pesisiran pantai Lahad Datu, di mana Morehat terjun ke laut bersama anaknya. 

Siapakah Bajau Laut?

Insiden ini menggambarkan realiti perit yang dihadapi individu tiada kerakyatan dan komuniti Bajau Laut di Sabah.

Bajau Laut adalah komuniti nomad yang tinggal di lautan. Nenek moyang mereka tinggal di lautan Sulu-Celebes yang melangkaui sempadan negara.

Selama bergenerasi, mereka bergerak dari perkampungan air ke perkampungan air lain di Sulu di Filipina, Semporna di pesisir pantai timur Sabah dan Sulawesi Selatan di Indonesia.

Walaupun kerajaan Sabah mengiktiraf mereka sebagai pribumi, kebanyakan mereka tiada kerakyatan dan dianggap sebagai “pendatang tanpa izin”.

Tempat tinggal masyarakat Bajau Laut di Lahad Datu

Selepas insiden itu Morehat berpindah ke Semporna, berjauhan dari isteri dan keluarganya. Ini kerana menurut kepercayaan Bajau Laut, dia telah dimusuhi buaya. 

Menurut kepercayaan itu, apabila seseorang itu telah diserang buaya, dia akan menjadi sasaran buaya seumur hidupnya jika tetap tinggal di kawasan buaya itu.

“Kalau saya hidup di laut, ia akan cari saya,” katanya.

Morehat berharap dia akan mendapat status kewarganegaraan Malaysia agar dia boleh tinggal di darat. Tetapi dia tak pasti jika seorang pribumi yang tiada kerakyatan sepertinya layak untuk menjadi warganegara.

Projek IC

Masyarakat pribumi terbesar di Sabah, iaitu etnik Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) ada sebab tersendiri untuk berasa tidak selamat dari segi hak politik dan kesaksamaan, dan perasaan ini sering dipergunakan dalam politik. Biasanya ia dilakukan dengan cara yang memangsakan golongan terpinggir.

Presiden Pusat Hak Asasi Manusia Sabah Sherzali Ali berkata ramai warga Sabah merasa tertinggal daripada arus kemajuan ekonomi negara. Mereka juga merasakan jika warga yang tiada kerakyatan diberi status warganegara, ia akan memburukkan lagi keadaan.

Pada era 1970-an, ekonomi Sabah berkembang begitu pesat ekoran sumber balak dan negeri ini mempunyai KDNK per kapita yang lebih tinggi darpada KDNK per kapita negara.

Hari ini, Sabah menjadi negeri dengan KDNK per kapita yang kelima terendah di Malaysia, dan merupakan negeri yang mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi. kira-kira seorang dari lima penduduk Sabah hidup dalam kemiskinan.

Presiden Pusat Hak Asasi Manusia Sabah Sherzali Asli

Sebab kemerosotan ekonomi Sabah berkait dengan sejarah politik dan sosial negeri tersebut. Ini termasuk kemasukan pelarian dari Mindanao yang lari daripada keganasan di pulau tersebut pada tahun 1970-an.

Kemasukan ramai pelarian menimbulkan kegusaran di kalangan penduduk tempatan. Isu tersebut membantu Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk menang dalam pilihan raya negeri dan menubuhkan kerajaan negeri pada tahun 1985, tahun sama ia ditubuhkan.

PBS mendapat sokongan etnik Kadazan dan Dusun. 

Untuk menjatuhkan PBS, usaha mengubah demografi pengundi didakwa telah dijalankan oleh pihak yang dikaitkan dengan kerajaan persekutuan ketika itu.

Ramai pendatang diberi kerakyatan untuk tujuan ini, menurut pihak terlibat ketika memberi keterangan pada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tentang isu pendatang asing di Sabah yang dibuat beberapa dekad selepas ia didakwa berlaku. 

Kerajaan PBS tumbang pada 1994. Ketika itu, populasi Sabah sudah meningkat lebih 82 peratus berbanding 1985, dan ia terus meningkat. Hari ini, Sabah merupakan negeri dengan jumlah populasi ketiga terbesar di Malaysia dengan 3.1 juta penduduk.

“Peningkatan populasi ini jelas bukan secara semulajadi,” kata Sherzali.

Kad IMM13 yang dikeluarkan kepada pendatang. 

Sentimen negatif terhadap komuniti Bajau Laut terkait dengan sentimen terhadap pelarian yang mula datang sekitar tahun 1970-an. Tetapi dua golongan ini tidak mendapat dokumentasi yang sama.

Mereka yang lari dari keganasan di Mindanao diberikan kad IMM13 sebagai dokumentasi diri mereka.

Masyarakat Bajau Laut, yang tinggal di perairan dan sukar untuk tinggal di darat, kebanyakannya masih tidak mempunyai dokumen diri dan hidup terpinggir dan dalam kemiskinan.

Ada sampan tapi tiada tempat tangkap ikan

Selepas insiden serangan buaya, Morehat dengan bantuan beberapa NGO berpindah sejauh lebih 400km dari Lahad Datu.

Kini dia tinggal di pondok yang dibina di atas sungai bersama-sama saudaranya di sebuah perkampungan komuniti Bajau Laut dan Suluk.

Oleh kerana takut ditangkap, dia hanya menggunakan sampan yang didermakan kepadanya di sungai sekitar tempat tinggalnya.

Sungai itu amat tercemar dan hasil tangkapan amat terhad, tetapi dia lebih rela berlapar daripada ke laut dan ditangkap.

Kecederaan Morehat telah sembuh

Dokumen pengenalan’ yang dimilikinya hanyalah satu gambar hitam putih yang dicetak di atas kertas. Di atas gambar itu tercetak Jata Negara. (lihat gambar di bawah).

Gambar itu dilaminasi walaupun wajah di gambar tersebut telah pudar. Bagi Morehat, gambar inilah bukti dia dari Malaysia.  

Selain takut ditangkap, Morehat juga risau sampannya akan disita oleh penguatkuasa  Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom). Essom menyita semua sampan dan bot yang tidak berdaftar.

‘Ops Gasak Laut’

Operasi imigresen yang dijalankan Esscom sejak beberapa tahun lalu telah menyukarkan kehidupan golongan Bajau Laut yang tiada kerakyatan. Masyarakat yang sedia miskin ini terus terdesak sehingga ada yang terpaksa mencari makan daripada timbunan sampah.

Menurut NGO yang beroperasi di kawasan perkampungan mereka, kanak-kanak di sana mula menghidu gam agar dapat melupakan kelaparan.

Bermula 2020, Esscom menjalankan operasi imigresen yang dinamakan sebagai ‘Ops Gasak Laut’. Dalam operasi ini, perkampungan air dirobohkan dan bot yang tidak berdaftar di Kudat, Tawau, Semporna dan Lahad Datu dirampas.

Notis pindah juga ditampal di pondok-pondok yang disyaki digunakan untuk tujuan jenayah antara sempadan, sebelum ia dimusnahkan.

Sampan Morehat yang didermakan kepadanya, di sebuah perkampungan air di Semporna.

Oleh kerana ramai penghuni pondok-pondok kecil ini tiada dokumentasi diri, mereka biasanya mengambil jalan untuk menghilangkan diri jika notis tersebut ditampal di pondok usang mereka.

Jika sampan mereka disita, mereka perlu membayar RM1,500 untuk mendapatkannya semula. Memandangkan mereka tiada dokumen pengenalan, mereka tidak dapat mendaftarkan sampan mereka, dan sampan tersebut berisiko disita semula.

Akibat operasi sita sampan ini, ramai keluarga Bajau Laut di Kampung Panji dan Kampung Air di Lahad Datu - yang sememangnya miskin - kehilangan sumber pendapatan mereka.

Oleh itu, ramai yang mula memanjat turun dari rumah mereka untuk mengumpul bahan kitar semula dari sampah yang dibawa ombak ke sana. Mereka tiada pilihan walaupun berdepan risiko diserang buaya.

Kampung Panji, Lahad Datu

Mungkin jadi gelandangan

Kebanyakan keluarga Bajau Laut di Lahad Datu tinggal di perkampungan air yang dibina di persisiran pantai atau di dalam bot kira-kira lima kilometer dari pesisir. 

Mereka yang tinggal di dalam bot akan menambat bot mereka ke persisiran pantai pada waktu malam. Kalangan yang tiada bot atau rumah terpaksa tidur di jalanan.

Semasa fasa merobohkan perkampungan Ops Gasak Laut yang dilakukan pada April 2022, seramai 100 keluarga di Kampung Panji berdepan risiko kehilangan tempat tinggal.

Menurut ketua kampung Kampung Panji, Fandry, dua pemaju - Bumimore Corporation Sdn Bhd dan Bindup Enterprise Sdn Bhd - memberitahu penduduk rumah-rumah mereka akan dirobohkan kerana kawasan itu akan dibangunkan. 

Ketua Kampung Panji Fandry Alsao

Fandry memfailkan afidavit di Mahkamah Tinggi Tawau dan menjelaskan bahawa pihak berkuasa tempatan, dengan kerjasama Esscom, yang memindahkan orang Bajau Laut ke situ pada 10 tahun lalu.

Mereka telah membina rumah menggunakan bahan binaan yang dibekalkan oleh pihak berkuasa tempatan sendiri.

Tambahan pula, katanya lagi, para penduduk bukan menceroboh tanah tersebut kerana rumah mereka di atas air dan bukan di atas tanah yang ingin dibangunkan.

Mahkamah memihak kepada penduduk dan arahan untuk pindah ditangguhkan.

Tunggul-tunggul merah di Kampung Panji menjadi sempadan tanah milik pemaju, mengikut perintah mahkamah.

Walaupun mereka berjaya menyelamatkan rumah mereka, komuniti Bajau Laut ini masih tidak mampu memperbaiki keadaan rumah mereka yang usang.

Kampung mereka merupakan gugusan binaan daripada papan kayu nipis, dan menurut penduduk, ada anak kecil yang lemas setelah terjatuh ke dalam laut dari celah-celah jambatan kayu usang.

Namun kampung ini sahajalah yang mereka ada.


Bahagian 1: Bayi dirampas: Bagaimana ibu tiada kerakyatan 'hilang' anak di hospital Sabah

Bahagian 2: Lewat dapat rawatan HIV, kanak-kanak tanpa kerakyatan maut

Bahagian 3: Tak mampu bayar bil hospital, ibu bunuh diri bersama bayi